Home Berita PAS Pulau Pinang

Selamat Tahun Baru 2018 dari Pemuda Jelutong

1407
SHARE

TERUS MARA MELANGKAH, MENUJU KESEJAHTERAAN UMMAH
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sungguh Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan” (Surah Al Hasyr 18)

Kami daripada seluruh saff kepimpinan Dewan Pemuda PAS Kawasan Jelutong (DPPKJ) mengucapkan Selamat Tahun Baru 2018 kepada seluruh rakyat jelutong tidak kira walau di mana jua pun.

Tahun lalu jadikan ia penilaian hidup untuk diberi perhatian dan muhasabah. Segala apa yang telah berlalu pasti ada hikmah besar yang telah ditentukan olehNya. Sesungguhnya kita hanya mampu merancang, Allah yang Maha Pencatur atas segala ketentuan takdir ilahi sesuai dengan hadis dibawah.

Di dalam sebuah hadis Rasullulah SAW diriwayatkan:

“Telah datang kepada Rasulullah saw seorang lelaki yang hendak meninggalkan untanya begitu sahaja di pintu masjid, tanpa ditambatkan terlebih dulu. Dia bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah unta ini saya tambatkan lebih dahulu kemudian saya tawakal, atau saya lepaskan saja dan sesudah itu saya tawakal?” Rasulullah SAW menjawab: “Tambatkan lebih dahulu dan kemudian bertawakallah engkau!” – Hadis Riwayat Tirmidzi.

Tahun ini kita jadikan sebagai kayu ukur dan mengambil segala ibrah. Manakala tahun baharu yang bakal menjengah 2018 pasakkan sebagai titik permulaan transisi diri kita untuk terus melangkah dengan apa yang telah dirancang serta terus kita perjuangkan untuk mencari kejayaan di dunia dan di akhirat.

Ayuh kita semua! Lengkapkan diri dengan ilmu serta hiasi peribadi dengan akhlak yang terunggul. Semarakkan budaya matang dan sejahtera dalam segala bidang, sentiasa berpandukan al quran dan syariah terus diperkasa dan diperteguhkan agar hidup kekal harmoni dan masyarakat terus bermuafakat tanpa mengenal bangsa dan agama.

‎اُدْعُ إِلَى سَبِيْلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِيْ هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.” (Surah An-Nahl, 16: 125)

Sebagai Penutup, letakkan posisi anda di kedudukan yang tepat. Teruslah harungi segala rintangan dengan tenang dan tabah. Tanamkan tekad, teruskan langkah. Jadilah umat Islam yang hebat serta dapat memberi manfaat dan memberi makna buat ummah, insyaallah. Bersama membina ummah yang sejahtera! Semoga tahun baru ini bakal mencipta sejarah yang bermakna!
“Sejahtera Bersama Islam”
“Menuju Kesejahteraan Ummah”
Sarfaraz Ahmad

Timbalan Ketua

Dewan Pemuda PAS Kawasan Jelutong

13 Rabiul Akhir 1439H

1 Januari 2018