Home Berita PAS Terengganu

Kenapa Peruntukan PERMATA sehingga RM74 juta lebih?

3725
SHARE

DUNGUN-Peruntukan yang besar untuk   Program Permata Negara ( PERMATA) yang dinaungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sehingga RM74 juta lebih di dalam pembentangan Bajet 2018 amat menghairankan.

Ahli Parlimen Dungun, YB. Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli mempertikaikan peruntukan yang besar itu, berbanding hanya RM36,336,000 juta untuk projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur atau East-Coast Economic Region(ECER).

“ECER dibawah Jabatan Perdana Menteri(JPM), melibatkan tiga wilayah, Kelantan, Terengganu dan Pahang, kita anggarkan tiga juta orang (penduduk), berapa peruntukan yang kita dapat RM36,336,000 bagi tiga juta penduduk, ramai mana pelajar PERMATA ni? “ soal beliau.

Beliau berkata demikian ketika, berucap di Majlis Bantuan Awal Persekolahan 2018 anjuran Pusat Khidmat ADUN Rantau Abang di Pak Sabah di sini pada sabtu, 23.Disember.

Yang Dipertua PAS Dungun itu, seterusnya memberitahu didalam pembentangan tersebut juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan, terdapat tiga  peruntukan untuk PERMATA, peruntukan biasa  RM54,301,000, peruntukan dasar baru RM8,190,100 dan juga ‘one-off’(pemberian sekali) RM12,700, 000 yang  semuanya berjumlah sebanyak RM74 juta lebih.

“Inilah nabi bersabda, bila kamu serah kepada wanita, perut bumi(mati) lebih baik daripada belakang bumi(hidup)”, tambah beliau lagi.

Wan Hassan seterusnya menyebut, sekarang ini rakyat terkena penyakit gst(good services tax) dimana setiap kali membeli perlu membayar gst.

“Pemimpin-pemimpin kena penyakit jugak gst, golf, shopping, travel,”

“Saya kena marah bila sebut perkataan ni dalam Parlimen, main golf, shopping, beli belah makin angin dengan duit negara, kena maroh, tetapi ini hakikat”, ujar beliau sambil mengukir senyuman.


Di majlis yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Cikgu Alias Harun menyentuh tanah di DUN Rantau Abang yang banyak dan luas, tetapi tidak beri hak milik kepada anak tempatan.

Justeru itu  beliau berharap rakyat membuat perubahan.

“Sebab kita tidak boleh berharap kepada penguasa-penguasa kampung yang sekarang ini menindas masyarakat yang selayaknya”, jelas Pengarah DUN Rantau Abang itu.

Sumbangan yang telah memasuki tahun keenam ini telah memilih seramai 500 orang anak-anak yatim dan miskin untuk menerima baucer uniform dan kasut sekolah bernilai RM100 setiap seorang yang merupakan hasil derma orangramai.