Kerajaan Negeri tidak akan membenarkan mana-mana pemaju menaikkan harga Rumah Kos Rendah ( Atau Rumah Selangorku Jenis A ) yang mesti dijual dengan harga RM42,000 atau RM35,000 sebuah bagi bekas peneroka bandar yang layak.
Kerajaan Negeri telah menerima aduan bahawa terdapat pemaju yang memaksa malah mengugut para pembeli agar menerima pakej “upgrading” dengan bayaran tambahan sehingga RM30,000.
Dengan pakej “upgrading” ini pembeli kononnya akan mendapat kemasan lantai, kemasan dinding, siling dan kelengkapan rumah yang lebih baik.
Walau bagaimanapun pembeli berkemungkinan boleh mendapat “upgrading” ini dengan harga yang lebih murah jika melantik kontraktor mereka sendiri.
Oleh yang demikian, pembeli-pembeli mesti melaporkan kepada Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor jika terdapat pemaju yang memaksa mereka menerima pakej tersebut.
Pemaju juga tidak boleh mengugut untuk membatalkan perjanjian jual-beli pembeli jika mereka enggan menerima pakej itu.
Pembeli-pembeli juga dinasihatkan supaya membuat laporan Polis jika pemaju memaksa mereka dengan menggunakan kekerasan atau ahli-ahli kongsi gelap.
Pakej “upgrading” ini merupakan taktik yang licik pemaju untuk menaikkan harga Rumah Kos Rendah.
Saya ingin menegaskan di sini bahawa Kerajaan Negeri akan bertindak tegas terhadap para pemaju yang memaksa pembeli-pembeli.
Di antara tindakan-tindakan yang boleh dilakukan oleh Kerajaan Negeri adalah,
1.) Mengeluarkan notis berhenti kerja ( stop work order ) untuk projek-projek pemaju yang terlibat sama ada projek Rumah Selangorku atau projek rumah harga bebas.
2.) Menahan kelulusan Kebenaran Merancang atau kelulusan Pelan Bangunan untuk projek Rumah Selangorku atau projek rumah harga bebas.
Kerajaan Negeri berharap Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan juga akan mengambil tindakan yang tegas seperti menarik balik atau menggantung lesen pemaju.
LPHS boleh dihubungi melalui nombor telefon, nombor faks dan emel berikut,
Telefon :
03 5510 3924
03 5510 3487
03 5544 7537
03 5510 2177
Faks :
03 5513 5568
03 5510 0798
Emel :
khairul.azam@lphs.gov.my
erni.juliana@lphs.gov.my
fazila@lphs.gov.my
srinazira@lphs.gov.my
YB Dato’ Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor
21 Disember 2017