Home Berita PAS Pahang

Siri 9 – Beginilah Pengalaman Hidup Mengajarku

1028
SHARE

“Qudwah atau Keteladanan Itu Lebih Berkesan”

Keteladanan adalah wasilah tarbiah, dakwah dan siasah yang sangat berkesan berbanding syarahan dan tulisan. Dalam pendidikan anak-anak, kita gusar anak tidak ikut apa yang kita kata dan arah, atau melakukan perkara yang kita tegah. Tetapi yang lebih sepatutnya kita gusar ialah, anak-anak mengikut perkara negatif yang kita lakukan. Sebab itu pentingnya keteladanan yang baik berbanding kata-kata semata.

Sebab itu ibu bapa yang merungut tentang sikap negatif anak-anak terhadap mereka pada hari ini wajar muhasabah tentang sikap mereka terhadap ibu bapa mereka dahulunya. Mungkin itulah keteladanan buruk yang mereka warisi.

Dalam politik, hari ini kita tekankan tentang pendekatan solusi berbanding provokasi dan persepsi. Semenjak 2008 lagi, apabila usai pilihanraya umum ke12, Tuan Guru Presiden PAS berpesan kepada ahli dan pimpinan PAS yang memegang jawatan di semua peringkat negeri yang dimenangi pada ketika itu agar tidak lagi sibuk berpolitik semata-mata, malah wajib melaksanakan kewajipan jawatan yang diberikan dengan amanah dan memberi khidmat yang terbaik mengikut nilai-nilai Islam. Rakyat akan menilai kerjabuat dan khidmat kita berbanding kata-kata dan slogan yang kita laungkan.

Dari sudut dakwah, transformasi imej kepada budaya matang dan sejahtera adalah pendekatan yang sangat tepat demi menarik hati semua pihak kepada Islam. Budaya populis, provokasi, sentimen, amarah, persepsi mesti digantikan dengan imej inginkan kebaikan dan kesejahteraan semua, mengenalpasti punca masalah sebenar untuk diselesaikan mengikut panduan Islam bukan mengaibkan, menitik beratkan kesahihan fakta bukan penyebar fitnah dan lain-lainnya.

Begitulah juga dengan disiplin, akhlak dan adab berorganisasi. Keteladanan adalah lebih berkesan dari bicara dan tulisan. Jika kita sendiri tidak boleh mengikut saluran dan peraturan organisasi, maka begitulah jua mereka yang di bawah kita. Qudwah apa yang ingin kita berikan? Jika kita sebagai anggota parti atau jamaah bertindak atau menulis sesuka hati, tidak patuh dengan arahan, keputusan dan peraturan, apabila ditekankan tentang wala’ dan taat kita memberi alasan ‘faham’ lebih utama dari ‘taat’, ‘kritik’ wajib sedangkan ‘akhlak’ sunat… tapi tatkala kita mengetuai sesuatu unit dalam struktur jamaah, kita marah pula apabila ada ahli di bawah seliaan kita yang tidak patuh dengan arahan atau sebagainya. Kita marah jika ahli di bawah seliaan kita membocorkan maklumat dalaman unit yang kita selia, tetapi kita juga membocorkan rahsia sebagai peserta dalam program dalaman yang kita hadiri. Kita sendiri mengingkari arahan dan bertindak membelakangi saluran, layakkah kita mempertikaikan jika ada anak buah kita mengingkari dan membelakangi kita?

Sebab itu keteladanan lebih berkesan dari kata-kata. Semoga pengalaman mematangkan kita.

Ustaz Hazmi bin Dibok

Ketua Pemuda,

PAS Negeri Pahang