Bismillah
Majoriti orang Islam mahu membawa manusia kepada Allah kerana ketika ini, manusia keseluruhannya dilihat sangat haus akan ilmu mengenal Allah. Mereka dengan penuh bertanggungjawab berusaha membentuk generasi yang memahami apakah kehendak Allah dan kewajipan sebagai mahkluk Allah. Dengan kesedaran majoriti yang mahukan kesempurnaan dunia akhirat kepada masyarakat, mereka cuba membina masyarakat Rabbani di Malaysia ini.
Bagi mencapai kehendak masyarakat Rabbani itu, maka tiadalah watak terpenting yang boleh merealisasikan tujuan hidup itu, gurulah orangnya. Guru sangat dimuliakan di dalam Islam. Dinukilkan di dalam al-Quran dan Hadis akan ketinggian martabat guru di sisi Allah. Merekalah yang bersusah payah dalam membentuk masyarakat Rabbani yang mengenal Allah, bertaqwa kepadaNya. Tiada mereka, maka hancurlah masyarakat kerana tenggelam dalam arus keduniaan tanpa tuhan.
Walau sehebat manapun kemajuan yang dicapai, namun jika tidak disertakan dengan taqwa kepada Allah, maka gagallah tamadun itu kerana kehidupan tidak terhenti di dunia sahaja, tetapi juga di akhirat. Maka Islam amat mementingkan pendidikan yang mengajak manusia kembali kepada Rabb mereka. Rabb yang ditafsirkan sebagai yang menciptakan, menguasai, mentadbir dunia ini. Sedar diri kita sebagai manusia yang lemah yang diciptakan Allah untuk beribadat kepadaNya. Tiada tamadun yang sebenar-benarnya tanpa Islam. Ia pasti akan hancur dalam ertikata tiada sifat kemanusiaan dan ketuhanan di dalamnya.
Terima Kasih Cikgu. Terlalu banyak jasa dan budi guru-guru yang telah ditabur. Usaha murni anda dalam membawa manusia secara umumnya untuk kembali kepada Allah, tidak akan tersia kerana ada kehidupan selepas mati, ada ganjarannya kepada anda walau apapun subjek yang diajar. Ya Allah, kurniakanlah kemuliaan kepada para guru yang mendidik manusia ke jalanMu.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
Merangkap Pengerusi Lajnah Persekolahan DUPNT
19 Syaaban 1438 / 16 Mei 2017
{jathumbnail off}