Home Berita PAS Wilayah

PAS Wilayah ALTERNATIVE RIDING CLUB (ARC) SEMBANG SANTAI MAT MOTO

1823
SHARE

Sebut sahaja kelab motosikal, tentunya terbayangkan keseronokan berkonvoi di atas jalan raya, bercuti bersama rakan-rakan motosikal yang lain. Berkonvoi ke tempat rekreasi, tempat makanan yang popular, menziarahi tempat-tempat kebajikan adalah aktiviti yang biasa dilaksanakan oleh kebanyakkan kelab-kelab motosikal. Namun bagi Alternative Riding Club (ARC), aktivitinya bukan sekadar berkonvoi, menambah jaringan kenalan, ahli-ahli ARC tetapi ARC juga salah satu tempat untuk mentarbiahkan diri dan berdakwah. Inilah ARC yang merentasi pelbagai agama, bangsa, politik dan pelbagai latar belakang dalam mengajak ke arah kebaikan.

Pada 2 Disember yang lalu Alternative Riding Club (ARC) Wilayah Persekutuan telah mengadakan program bersama ‘Mat Motor’ untuk mengajak mereka menghadirkan diri ke program yang lebih ke arah kebajikan, dakwah serta pendedahan undang-undang penggunaan motosikal di jalan raya. ‘Mat Motor’ yang hadir juga terdiri dari pelbagai kelab motor yang ada di Malaysia seperti kelab RD Motor Malaysia, ARC Selangor. Program ini turut menampilkan kumpulan Lestari Buskers di bawah Lajnah Kesenian PAS Wilayah Persekutuan yang menyampaikan nyanyian lagu – lagu dakwah.

Program sembang santai yang bersahaja ini bertujuan memberi kefahaman tentang Islam khususnya kepada ‘mat motor’, selain itu berkenaan undang-undang motosikal, jati diri, pengamalan-pengalaman bekas pelumba motorsikal dan nasihat sebagai peminat motorsikal.

Perbincangan atau sembang santai ‘Mat Motor’ ini terdiri daripada beberapa penampilan istimewa antaranya panelis Ust Mohd Farkhan bin Md zain(Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan), King AZ(Juara King of 2T 2014 ), Wazi Abd Hamid (Legend Cup Prix) dan moderator Mohd Sharifudin bin Abdul Rashid(Pengarah ARC Wilayah Persekutuan).

Antara perkara yang disampaikan para panelis ialah Islam tidak menghalang umatnya untuk melakukan perkara kesukaan dan hobi selagi mana tidak bercanggah dengan larangan Allah seperti yang diungkapkan oleh Ustaz Farkhan. Selain itu juga ‘Mat Moto’ hendaklah memainkan peranan penting membetulkan perseksi masyarakat supaya ‘mat motor’ ini tidak dipandang serong oleh orang awam dengan menunjukkan akhlak dan tingkah laku yang baik samada ketika menunggang motorsikal atau tidak. “Bila kita bawa moto identiti peribadi seorang muslim perlu ditampilkan supaya ada jati diri masing-masing,” kata beliau lagi. “Kalau dulu kacau orang, ragut dipanggil ‘mat rempit’ namun berbeza kini ‘mat rempit’ ditukarkan kepada ‘mat moto’ yang kininya ada di masjid, membersihkan kubur, membantu fakir miskin dan sebagainya, yang mana ada satu peranan penyambung dakwah Rasulullah S.A.W” ujar beliau lagi.

Selain itu, Wazi Abdul Hamid menasihati agar ‘mat motor’ menunjukkan akhlak terpuji kepada kawan-kawan motor yang lain. Memulakan dengan sedikit dahulu seperti berhenti solat ketika konvoi, membaca doa sebelum bertolak dan sebagainya. Beliau juga memaklumkan akan mengadakan program pembangunan kemahiran kepada remaja khususnya yang ‘kaki motor’ daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah kepada menjadi insan yang berguna pada masyarakat, selain itu beliau juga meminta agar para asatizah turut menjiwai mereka. Manakala King AZ juga meminta agar ‘Mat Rempit’ yang diluar sana boleh menuntut ilmu yang bermanfaat dan mengikut laluan yang betul bagi mempamerkan bakat lumba di litar yang sah supaya tidak terpengaruh gejala yang tidak baik.

Memetik ucapan syabas dan tahniah dari Pengarah DACS Wilayah Persekutuan dan Pengarah ARC Wilayah Persekutuan kepada semua AJK program dan Mat Motor yang hadir dan telah berusaha sedaya upaya dan bertungkus lumus bagi memastikan program ini berjalan dengan jayanya, semoga Allah S.W.T memberkati segala usaha murni ini dan mencatatkanya sebagai pahala amalan di akhirat kelak. Jika di masjid Imam lah pendakwahnya, jika di sekolah guru lah pendakwahnya, jika di atas motor ARClah yang menjadi pendakwahnya, mempamerkan akhlak dan adab yang mulia kepada pengguna jalan raya yang lain.

Bagi yang ingin mengenali ARC dengan lebih dekat, ikuti program ARC Wilayah Persekutuan dan laman sesawang Facebook ‘Alternative Riding Club, Wilayah Persekutuan – ARC WP. Mari sertai kami merasai pengalaman dan keseronokan dalam ARC dalam melakukan aktiviti yang sihat lagi bermanfaat. ARC meluaskan kenalan, menambah pengalaman, membentuk keinsanan dan menabur amal kebajikan.

S/U
Jabatan Kesenian Kebudyaan & Sukan WP Persekutuan(DACS),

Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan.