Keluar Mulut Harimau, Masuk Mulut Buaya.
SERINGKALI rakyat yang dikuasai emosi dalam mengamati politik, menyebabkan mereka lebih cenderung memilih jalan singkat sebagai penyelesaian. Sikap simplistik tersebut kerana beberapa faktor.
Pertama, melihat politik semata-mata berorientasikan isu. Bukan kepada dasar ideologi yang menjadi latar penentu kepada sesebuah parti politik. Contohnya, ramai yang suka bicara berkenaan masalah ekonomi, lantas menekankan soal rasuah sebagai punca kemalangan ekonomi. Kita tidak nafikan itu antara puncanya. Namun kita perlu sedar bahawa faktor utama jahanamnya ekonomi negara kerana dasar kapitalisme yang diamalkan selama ini. Dasar percukaian dan penswastaan amat memberi laluan kepada politikus dan kapitalis mengamalkan kronisme sesama mereka. Dari ruang itulah munculnya rasuah yang disebut-sebut oleh ramai orang.
Kedua, terikut-ikut dengan kempen politikus yang hanya beragenda menukar tampuk kepimpinan negara dan parti. Bukan menukar dasar pemerintahan yang menjadi faktor utama kerosakan negara. Kadang-kadang kita melihat gaya mereka melawan penyelewengan bukan kerana prinsip nahi mungkar. Sebaliknya kerana mereka tidak dapat habuan seperti yang dinikmati oleh pesaing politiknya. Jika dapat, mereka kenyang dan mengangkat ibu jari tanda politiknya bagus. Rakyat dipergunakan untuk merealisasikan dendam materialistik mereka. Politikus seperti ini bila diberikan kuasa, sama sahaja menghidapi penyakit penyelewengan berbanding politikus sebelumnya. Dari sudut yang lain, jika mereka benar-benar jujur membawa perubahan, mereka mestilah menekankan soal dasar yang wajib diubah serta plan solusi yang menyeluruh. Bukan semata-mata perubahan batang tubuh pucuk pimpinan negara.
Berapa banyak sejarah yang kita saksikan, dengan hanya menukar pucuk pimpinan tidak mendatangkan perubahan ideal yang diidamkan. Selagi dasar tidak berubah, maka produksi kitaran pemimpin yang korup tetap berulang.
Dahulu rakyat meluat dengan Tun Mahathir yang memerintah selama 22 tahun. Berundurnya Mahathir, digantikan oleh Pak Lah. Walaupun pada awalnya beliau mendapat sambutan dari rakyat dengan produk Islam Hadharinya, tetapi akhirnya rakyat sedar itu hanyalah gimik. Pak Lah tetap tidak menepati hasrat perubahan yang rakyat mahukan. Kemudian digantikan pula dengan Najib, hasil restu Tun Mahathir.
Yang terbaharu, mereka mendakwa perlu jatuhkan Najib seterusnya dipulangkan kembali kerusi PM kepada Tun Mahathir. Idea gila. Dakwa mereka kononnya tidak perlu dibimbangkan Tun Mahathir, kerana beliau hanyalah diktator yang sudah pencen. Sedangkan kempen tersebut membuka jalan kepada diktator pencen tersebut untuk kembali berkuasa.
Ada yang mengatakan, berilah peluang kedua kepada Tun Mahathir untuk mengelola negara. Sesungguhnya beliau telah bertaubat. Kita perlu faham, seorang penguasa yang telah melakukan kezaliman dan menanam doktrin negatif yang mengelirukan rakyat terhadap Islam, taubatnya tidak cukup dengan ungkapan saya telah bertaubat. Bahkan ia mesti disusuli dengan tindakan serius membetulkan, menerangkan dan mengakui kesalahan-kesalahan terdahulu yang telah dikenakan ke atas rakyat. Ini wajib agar kesan onar yang telah dibuat benar-benar dapat dihentikan. Allah berfirman:
“Melainkan mereka yang telah bertaubat, memperbaiki dan menerangkan (memperakui kesalahan), maka merekalah yang Aku terima taubatnya” – surah al-Baqarah 160.
Di dalam ayat ini Allah meletakkan syarat taubat mestilah disusuli dengan pengakuan dan memperbaiki kesalahan agar kesalahan yang dibuat tidak berpanjangan.
Kita tidak boleh naif dan semberono dengan hanya meletakkan markah seseorang itu bertaubat semata-mata kerana dia telah menukar jersi parti politiknya. Sedangkan nafsu tipu daya dan gejolak pemikiran yang cukup tidak mesra dengan Islam masih bersarang dalam dirinya.
Apakah negara kita mahu dibawa ke situasi keluar mulut harimau masuk mulut buaya? Yang lebih malang, buaya yang dimaksudkan adalah buaya sama yang pernah membaham hak rakyat satu ketika dahulu. Sampai bila kita mahu diheret menonton drama politik kartun ini?
ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang