Home Berita PAS Perak

PAS Perak l Keperluan Institusi Pendidikan Agama Bagi Warga Felda

1555
SHARE

Keperluan Institusi Pendidikan Agama Bagi Warga Felda
Oleh: Zulhafeez Ahmad Zahidi

TANJUNG MALIM: Pemuda PAS Tanjung Malim telah melaksanakan ziarah kebajikan dan peduli rakyat di Felda Trolak Selatan untuk mendekati masyarakat setempat di samping meninjau keperluan yang sesuai.

Antaranya adalah institusi pendidikan Islam yang khusus bagi warga felda untuk pelbagai lapisan masyarakat bahkan ia berperanan dalam memahami agam dengan lebih baik.

Pengerusi Sekolah Integrasi Teras Islam ( SRITI ) Perak, Zulfadhli Zainal berkata demikian selepas misi ziarah bersama pemuda PAS Tanjung Malim, 26 November, di sini.

Katanya, pembangunan kepada warga felda tidak hanya difokuskan kepada penyediaan infrastruktur semata-mata bahkan pengisian dalam membentuk pembangunan insan juga harus diambil perhatian.

“Di samping ziarah kami juga meninjau kemudahan dan keperluan masyarakat setempat maka seandainya dapat diwujudkan institusi pendidikan agama adalah satu peluang baik buat rakyat felda.

“Ziarah yang kita laksanakan dengan objektif ‘Pemuda PAS di Hati Rakyat’ merupakan satu penanda aras untuk memastikan peranan anak muda kepada masyarakat penting.

“Jika dapat diwujudkan satu tempat atau aktiviti yang berorientasikan pengajian umum seperti kelas al-Quran, pengajian kitab, praktikal tayamum dan lain-lain ianya mampu membantu masyarakat mendalami ilmu asas-asas fardu ain.

“Usaha ini tidak hanya tertumpu pada golongan muda sahaja tetapi boleh ditawarkan untuk golongan dewasa sekaligus ia boleh mengisi kekosongan waktu warga felda dengan perkara berfaedah,” pandangan beliau.

Beliau yang juga, Timbalan Ketua Pemuda PAS Tanjung Malim mengharapkan anak-anak felda bakal mengisi masa depan negara dengan kualiti pengetahuan serta menjadi contoh kepada masyarakat.

Jelasnya, segala insentif yang diberikan bukan sahaja menjamin kesejahteraan rakyat menjalani kehidupan bahkan memberikan rakyat peluang menggunakannya ke arah perkara kebaikan untuk akhirat.