SURAT CINTA BUAT NABI AHMAD.
Kehadiran Nabi Akhir Zaman yang digelar dengan nama Ahmad, amat dinantikan oleh generasi terdahulu. Mereka teruja dengan kemunculan Nabi yang akan menyempurnakan ajaran Islam, sekaligus mengakhiri legasi para Nabi & Rasul.
⚫ Raja Tubba’ Yang Beriman.
Di dalam surah al-Dukhan ayat 37, Allah mengemukakan contoh kaum Tubba’ sebagai golongan yang telah dibinasakan kerana keingkaran mereka. Tubba’ merupakan gelaran bagi raja di Yaman. Namun begitu, Nabi telah memperincikan bahawa sebenarnya ada generasi Tubba’ yang beriman. Sabdanya:
“Jangan kamu cerca Tubba’, maka seseungguhnya dia beriman” – hr Tabarani.
⚫ Penemuan Bai’ah.
Imam al-Qurtubi menceritakan melalui riwayat al-Zajjaj, Ibnu Abi Dunia dan Zamakhsyari, bahawa telah ditemukan catatan bai’ah bertinta emas di atas plat perak milik kerabat Raja Tubba’ pertama. Dikatakan catatan tersebut berusia seribu tahun sebelum munculnya Nabi Muhammad.
⚫ Bai’ah Bertinta Emas.
“Maka sesungguhnya aku telah beriman denganmu dan beriman dengan kitab yang diturunkan ke atasmu. Dan aku bersama agamamu dan sunnahmu. Aku beriman dengan Tuhanmu, Tuhan bagi segala sesuatu. Aku beriman dengan segala Syariat Islam yang ditetapkan oleh Tuhanmu. Maka jika aku sempat bersamamu, sudah pasti ia nikmat teragung untukku. Namun jika aku tidak sempat bertemu denganmu, maka sudilah memberi syafaat untukku. Janganlah lupakan diriku di hari kiamat kelak. Maka sesungguhnya akulah umatmu yang awal, aku telah berbai’ah denganmu walaupun sebelum kedatanganmu. Aku bersama dengan agamamu dan agama bapamu Ibrahim”
⚫ Format Menyayangi Nabi.
Dari catatan emas Raja Tubba’, kita telah diajar bagaimana mengasihi Nabi dengan sebenar-benar kasih.
• Beriman dengan al-Quran yang diturunkan kepada Nabi.
• Setia dengan keseluruhan ajaran Islam & sunnah Nabi.
• Menerima segala syariat Islam tanpa bersikap selektif.
• Walaupun tidak sempat bertemu dengan Nabi, mereka menzahirkan keseriusan mendukung ajaran Nabi.
• Mengaku sebagai umat Nabi dengan bai’ah, berjanji setia menjadi pembela kepada ajaran Islam.
⚫ Jangan Sekadar Gimik.
Mengasihi Nabi mestilah dilangsungkan dengan pembuktian hidup dan mati untuk Islam. Ramai orang yang menumpukan artifak peninggalan-peninggalan sejarah Nabi seperti pakaian dan pedang.
Hingga kita terlupa, di hadapan mata kita ada al-Quran. Itulah seagung-agung pusaka Nabi yang perlu diamal dan diperjuangkan. Bahkan setiap hari kita mendengar umat Islam ditindas. Sedangkan mereka adalah umat kesayangan Nabi.
Hakikatnya untuk menjadi umat Nabi yang sebenar-benar umat, tidaklah terlalu mudah dengan alunan syair kasih semata-mata. Bahkan perlu dibuktikan dengan jihad dan pengorbanan.
Abdul Mu’izz Muhammad
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
20 November 2017.