GST Boleh Dihapuskan
Oleh: Zulhafeez Ahmad Zahidi
TELUK INTAN: GST boleh dihapuskan dan digantikan dengan cukai yang lebih menepati kehendak syarak bahkan memberi pulangan terbaik kepada negara.
Konsep percukaian dalam Islam dapat dilihat melalui sistem zakat di mana lebihan harta diambil dari golongan kaya dan diagihkan kepada golongan asnaf yang terdiri daripada golongan miskin dan yang sangat memerlukan bantuan.
Pandangan itu disuarakan Timbalan Yang Dipertua PAS Teluk Intan, Azhar Rafiei berkaitan solusi hapuskan GST bagi mengurangkan bebanan rakyat, 10 November.
Jelasnya, konsep tersebut bercanggah dengan sistem GST yang menyaksikan cukai dikutip secara keseluruhan termasuk melibatkan golongan miskin.
“Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan mencatatkan anggaran sebanyak RM39 bilion setahun berjaya dikumpul oleh kerajaan melalui perlaksanaan GST.
“Modul penyelesaian Islam memperkenalkan sistem percukaian yang lebih efisyen dan tidak menindas rakyat.
“Terdapat dua cadangan penyelesaian praktikal yang dapat dilaksanakan seperti menguatkuasakan cukai ke atas simpanan syarikat dan koporat.
“Kedua, menguatkuasa cukai perdagangan keuntungan saham. Cadangan ini merupakan dua kelompok yang masih belum diteroka oleh kerajaan dalam mempraktikkan sistem cukai di negara,” ujarnya.
Menurut Azhar, selain daripada sistemnya yang lebih patuh syariah berbanding GST, unjuran kasar dibuat telah mendapati jumlah pendapatan kerajaan akan diperolehi adalah sekitar RM51.5 bilion adalah RM12.5 bilion lebih banyak berbanding hasil kutipan GST.
Justeru beliau berpandangan, GST boleh dihapuskan dan bebanan kepada rakyat boleh dikurangkan.
Katanya, sama ada kerajaan mengambil langkah proaktif dengan memansuhkan GST atau rakyat mengambil langkah proaktif menggantikan kerajaan yang ada dengan kerajaan yang lebih beriman dan bertaqwa.