Satu dialog telah diadakan di antara YAB. Dato’ Menteri Besar dengan penduduk PPR Lembah Subang 1 pada 19 April 2017 di Shah Alam, Selangor.
Dialog juga turut dihadiri oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, YB. Dato’ Iskandar bin Abdul Samad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi bin Mohd Zain, Ahli Parlimen Subang, YB. Tuan Sivarasa Rasiah, Penyelaras Kawasan Dewan Negeri Kota Damansara, Encik Radzlan bin Jalaludin dan Ahli-Ahli Majlis MBPJ, Puan Wong Yuet Leng dan Encik Suriase a/l Gengiah. Di akhir dialog tersebut satu persetujuan telah dicapai agar perlu ada kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan penduduk demi kebaikan penduduk.
Penduduk perlu memastikan segala tanggungjawab mereka seperti membayar sewa menurut jadual perlu ditunaikan.
Kerajaan Negeri melalui satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh Penyelaras Kawasan Dewan Negeri Kota Damansara, Ahli Majlis dan pegawai-pegawai MBPJ akan sentiasa mengadakan perbincangan dengan penduduk bagi mengenalpasti sebarang masalah sebelum ia menjadi kritikal.
Sebelum ini penduduk tertanya-tanya akan masa depan PPR mereka apabila Kerajaan Persekutuan mengumumkan akan mengambil alih PPR itu pada 1 Januari 2017.
Keadaaan menjadi kelam kabut apabila Kerajaan Persekutuan membuka pejabat di PPR itu tanpa mendapat persetujuan dari Kerajaan Negeri. Akibatnya kutipan sewa bulanan telah menurun dengan hanya 20% dari penduduk yang membayar sewa kepada MBPJ. Kekurangan pungutan sewa ini telah mengakibatkan perkhidmatan penyelenggaraan yang diberikan oleh MBPJ terjejas.
Walaupun terdapat banyak pengumuman-pengumuman sehingga hari ini Kerajaan Persekutuan masih belum bersetuju dengan syarat-syarat pengambilalihan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.
Di antaranya adalah pembayaran semula RM 60.6 juta yang telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri dan MBPJ sejak mengambil alih PPR itu dalam tahun 2001.
Oleh yang demikian YAB. Dato’ Menteri Besar dalam dialog semalam telah memberitahu penduduk bahawa MBPJ akan kembali melakukan pembersihan bangunan memandangkan persetujuan Kerajaan Persekutuan belum tentu akan diperolehi.
Penduduk telah dimaklumkan bahawa satu dialog di antara YB. Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar dengan wakil-wakil penduduk pada 29 Mac lepas, kutipan sewa telah meningkat kepada 60% setelah penduduk diterangkan bahawa Kerajaan Persekutuan kelihatan tidak serius untuk mengambil alih PPR tersebut.
Kerajaan Negeri akan tetap dengan komitmen untuk memastikan PPR tersebut dalam keadaaan baik sepertimana sebelum ini.
Y.B. Dato’ Iskandar Bin Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor
20 April 2017