KUALA ROMPIN – Walaupun sudah tiada, perit jerih Allahyarham Bakar Md Yatim bersama rakan-rakan sepejuangannya membangunkan PAS di kawasan Kuala Rompin, tidak dilupakan.
Seorang yang tegas dengan pendiriannya, apabila yakin dengan pilihannya, Allahyarham Bakar tidak akan peduli dengan apa kata orang biarpun pernah dipulau sanak saudara ketika menyertai PAS.
Anaknya, Mohd Razi Bakar, 51, berkata, ingatannya terhadap pengorbanan bapanya itu demi agama dan parti masih kekal hingga kini.
Dia yang masih amat muda ketika itu menyaksikan perkembangan PAS di Kuala Rompin yang bermula dengan hanya beberapa orang, kini mempunyai penyokong yang ramai.
Katanya, Markaz Pas Kampung Sepakat menjadi bukti pengorbanannya ketika itu dengan mewakafkan tanah untuk dijadikan tapak markas, selain memakan tempoh yang panjang untuk menyiapkannya.
“Nak bangunkan markaz ini bukannya mudah, dia (ayah) tanam jagung, ubi keledek, kacang tanah dan pelbagai lagi cara demi mencari dana untuk membiayai pembinaannya.
“Disebabkan kekangan kewangan, bertahun masa nak siapkannya. Ada duit buat..ada duit buat..sekarang jadi markaz terbesar di Kuala Rompin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Naik Taraf Markaz PAS Kampung Sepakat kepada Dewan Haji Bakar Bin Md Yatim yang disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Dalam pada itu, Mohd Razi terharu dengan penghargaan diberikan kepada Allahyarham bapanya yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada usia 70an ketika PRU12.
Sementara itu, Al Fadhil Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim dalam ucapannya berkata, beliau terharu dengan pengorbanan pejuang-pejuang PAS terdahulu yang sanggup berkorban apa sahaja demi Islam.
Katanya, nama Dewan Haji Bakar bin Md Yatim diberikan atas nama Allahyarham bagi mengenang jasa pengobanan ketika hayatnya.