RASULULLAH S.A.W. DAN FITNAH SIBER
Allah Yang Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana melantik Rasul Akhir Zaman, ketika dunia dikurniakan sedikit ilmu, sehingga mencapai kemajuan teknologi maklumat yang disaksikan terkini sampai menembusi sempadan negara, tersiarnya berita tanpa mengira benar dan bohongnya, yang hanya dengan hujung jari sahaja tersebar ke seluruh pelosok dunia.
Al-Quran, kitab mukjizat ilmu adalah petunjuk di sepanjang zaman, memandu setiap yang beriman, berakhlak dan bertaqwa dan menyedari betapa kewajipannya di hadapan Allah dalam semua perkara dengan menggunakan nikmat pancaindera kurniaan Allah, dengan betul dan tepat, kerana semuanya akan dihisab pada Hari Kiamat nanti.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسُۡٔولٗا ٣٦ الإسراء
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta rasa hati (akal fikiran), semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (Surah Al-Isra’: 36)
Di antara petunjuk Al-Quran ialah bertabayyun, jangan menerima maklumat dengan mudah tanpa mengira benar dan salah. Firman Allah:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ ٦ الحجرات
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka bertabayun (selidikilah untuk menentukan kebenarannya), supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah Al-Hujurat: 6)
Orang yang fasik itu ialah yang tidak berakhlak mulia dan tidak menjaga maruah diri, walaupun dia beriman seperti melakukan dosa yang besar tanpa bertaubat atau melakukan dosa yang kecil sepanjang masa, termasuk mereka yang tidak menjaga maruah dirinya atau tidak dikenali sifatnya. Adapun yang tidak beriman lebih parah dan buruk fasiknya.
Kepada mereka yang menyebar berita bohong dan fitnah, amaran Allah lebih keras dan janjinya adalah benar. Firman Allah:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَٰحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ ١٩ النور.
“Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara), sedangkan kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (Surah An-Nur: 19)
Firman Allah:
إِنَّ ٱلَّذِينَ فَتَنُواْ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتِ ثُمَّ لَمۡ يَتُوبُواْ فَلَهُمۡ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمۡ عَذَابُ ٱلۡحَرِيقِ ١٠ البروج
“Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan fitnah (bencana) terhadap orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab Neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu) dan mereka akan beroleh lagi azab api neraka yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).” (Surah Al-Buruj: 10)
Rasulullah S.A.W. pula menghuraikan ayat-ayat tersebut sehingga ke alam siber langit terbuka tanpa sempadan yang menyebarkan maklumat bohong. Perkara ini tidak berlaku di zamannya, rupanya berlaku di zaman kini. Sabda Baginda SAW ketika menceritakan tentang Alam Barzakh (selepas kematian):
أما الرَّجُلُ الَّذِي أتَيْتَ عَلَيْهِ يُشَرْشَرُ شِدْقُهُ إِلَى قَفَاهُ ، ومِنْخَرُهُ إِلَى قَفَاهُ ، وَعَيْنُهُ إِلَى قَفَاهُ ، فإنَّهُ الرَّجُلُ يَغْدُو مِنْ بَيْتِهِ فَيَكْذِبُ الكِذْبَةَ تَبْلُغُ الآفاقَ .(رواه البخاري: رقم الحديث 7047 من حديث سمرة من جندب رضي الله عنه)
“Berkata malaikat yang mengiringi Rasulullah S.A.W.); “Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disengkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disengkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan ke sehingga seluruh ufuk penjuru dunia” (Hadis Riwayat Bukhari: Bil. 7047 dari hadis Samurah bin Jundub R.A)
Allah SWT pula menegaskan betapa Rasulullah S.A.W. tidak bersabda sewenang-wenang mengikut seleranya sahaja. Sepertimana Allah berfirman:
وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلۡهَوَىٰٓ ٣ إِنۡ هُوَ إِلَّا وَحۡيٞ يُوحَىٰ ٤ عَلَّمَهُۥ شَدِيدُ ٱلۡقُوَىٰ ٥ النجم.
“Dan Dia (Muhammad S.A.W) tidak memperkatakan (sesuatu) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. (3) Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau Hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. (4) Wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (Malaikat Jibril) yang amat kuat gagah. (5)” (Surah An-Najm: 3-5)
Semua yang tersebut di atas boleh dimanfaatkan oleh sesiapa yang beriman dan budiman sahaja supaya berwaspada dan kalau sudah terlanjur kembali sahaja ke pangkal jalan dan bertaubat.
Adapun yang tidak beriman, Allah SWT menegaskan tentang kisah mereka dengan firman-Nya:
قُلۡ هَلۡ نُنَبِّئُكُم بِٱلۡأَخۡسَرِينَ أَعۡمَٰلًا ١٠٣ ٱلَّذِينَ ضَلَّ سَعۡيُهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَهُمۡ يَحۡسَبُونَ أَنَّهُمۡ يُحۡسِنُونَ صُنۡعًا ١٠٤ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بَِٔايَٰتِ رَبِّهِمۡ وَلِقَآئِهِۦ فَحَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فَلَا نُقِيمُ لَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَزۡنٗا ١٠٥ ذَٰلِكَ جَزَآؤُهُمۡ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُواْ وَٱتَّخَذُوٓاْ ءَايَٰتِي وَرُسُلِي هُزُوًا ١٠٦ الكهف
“Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (103) (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan. (104) Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengan-Nya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada Hari Kiamat kelak. (105) (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya Neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar dan mereka pula menjadikan ayat-ayat-Ku dan Rasul-rasul-Ku sebagai ejek-ejekan.(106)” (Surah Al-Kahfi: 103-106)
Percayalah bahawa semua amalan manusia yang mukallaf ada perhitungan baik dan jahat, benar dan salah. Allah bukan sahaja menetapkan dosa kepada kejahatan termasuk di laman siber, bahkan Allah juga memberi pahala kepada yang berjihad menyebarkan kebenaran dan melawan fitnah di alam siber. Percayalah di hari manusia tidak boleh berdolak dalih di Mahkamah.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 16 Safar 1439 / 6 November 2017