Banyak kalangan yang bertanya sikap PAS di antara memilih bersama Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional(BN)? Hanya pihak lain sahaja berdilema berkenaan PAS, menandakan PAS diminati semua. Adapun PAS, sedikitpun tidak menjadi keliru bagi menentukan sikapnya.
PAS sejak penubuhannya mewarisi para pemimpin yang berpengalaman dengan semua keadaan, sejak zaman penjajah sehinggalah selepas negara mencapai kemerdekaan.
Di zaman penjajah dahulu, sama ada British atau Jepun mereka yang menjadi pemimpin PAS sebelum penubuhannya berada dalam PKMM pernah bertahaluf dengan kumpulan Nasionalis, Sosialis, sehinggalah Komunis, akhirnya dirungkaikan. Mereka yang tidak memahami konsep Tahaluf, masuk hutan bersama komunis. Adapun yang beristiqamah menubuhkan Hizbu Al Muslimin yang akhirnya diharamkan oleh penjajah, yang bakinya bersama Umno.
Ketika PAS ditubuhkan 1951, memuncaknya perjuangan menuntut pilihan raya segera melalui pendekatan politik damai, PAS bertahaluf bersama IMP dan Perikatan (Umno, MCA dan MIC), sehingga Dr Burhanuddin Al Hilmi bersama Prof Zulkifli Mohamad, Pak Sako, Ahmad Boestamam dan Dato’ Onn Jaafar menyertai Persidangan Afro Asia dan turut mendukung perjuangan kemerdekaan. Apabila PRU pra kemerdekaan1955, PAS bersendirian di mana semua komponen Pakatan Harapan belum lagi menjadi janin untuk dilahirkan.
Selepas kemerdekaan PAS bersendirian dan mencapai sedikit kejayaan dalam PRU 1959, apabila berjaya memerintah Terengganu dan Kelantan dan menjadi Pembangkang di Parlimen bertahaluf dengan Parti Negara yang dipimpin oleh Al Marhum Datuk Onn Jaafar Bekas Presiden Umno.
Ketika penubuhan Malaysia berlakunya konfrontasi dengan Indonesia, PAS bertahaluf dengan kumpulan pembangkang menolak penubuhan Malaysia dan mahukan Melayu Raya. Mereka yang tidak memahami konsep Tahaluf terus menyokong Sukarno bersama kumpulan pembangkang lain. Adapun yang beristiqamah terus bersama PAS.
Selepas Peristiwa 13 Mei 1969 PAS menyertai Kerajaan Campuran bersama Perikatan 1973 dan menubuhkan BN 1974 bersama parti komponennya. Berakhir dengan PAS dipecat daripada BN. Mereka yang tidak memahami konsep Tahaluf terus bersama BN atau menubuh parti lain, termasuk menggerakkan ABIM. Manakala yang diperalat BN, mengikut telunjuk parti itu dan berlakunya penubuhan Berjasa.
Di era mutakhir, PAS bertahaluf dengan Parti Semangat 46, selepasnya BA dan seterusnya PR. Berakhir dengan DAP memecat PAS.
Dalam semua Tahaluf tersebut, PAS teguh dengan dasar dan matlamatnya. Pemimpin dan ahlinya diwajibkan beristiqmah dengan dasar matlamat dan wala’ kepada keputusan pemimpinya. Perkataan Wala’ dan Tahaluf tidak ada dalam istilah parti yang tidak berasaskan Islam. Mereka yang tidak faqih dalam istilah ini tidak boleh bersama PAS. Sama ada keluar melarikan diri atau dipecat.
PAS tidak bersama PH kerana bercanggah dengan dasar dan konsepnya. Di dalamnya ada parti dan pemimpin yang terus menerus menentang Islam secara terbuka atau bersembunyi atau oppurtunis.
PAS tidak boleh menyertai BN kerana pernah menyertainya dan terkini memerintah negara dengan bebanan masalah dan penyakitnya, serta masih ada halangan terhadap dasar dan matlamat PAS. Menyertai BN laksana memikul biawak hidup. Walaupun sebahagian kalangan mereka yang mencipta masalah dalam BN telah keluar dan menyertai PH. Bahkan menyertai PH biawaknya lebih besar dan penyakitnya lebih parah.
PAS memperkenalkan konsep Politik Matang dan Sejahtera berteraskan wajib berkepimpinan Islam yang adil terhadap semua anggota masyarakat majmuk mengikut objektif Ta’aawun berpandukan Firman Allah:
2. “Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).(Al-Maidah:2)
“Inilah Penyelesaian Kita”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
26 Jamadil Akhir 1438H / 25 Mac 2017M
{jathumbnail off}