Home Berita PAS Terengganu

90 Pemohon terima Kunci Rumah Mampu Milik di Besut

16
SHARE

BESUT – Seramai 90 rakyat menerima Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tempinis Sejahtera di sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata baki 10 keluarga lagi bakal penghuni fasa kedua akan menerima kunci dalam masa terdekat.

“Rumah bernilai lebih RM150,000 yang dibina biaya Kerajaan Negeri diberi milik kepada rakyat secara sewa dengan kos RM80,000 sahaja.

“Rumah yang dibina dengan berkonsepkan patuh syariah ini mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Rumah Mampu Milik Tempinis mempunyai reka bentuk Rumah Rahman yang pertama disiapkan di Terengganu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tempinis Sejahtera, Mukim Kerandang bertempat di Tapak Rumah Mampu Milik (RMM) Tempinis Sejahtera, Besut di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Wan Sukairi berkata, kesemua penerima sangat gembira dan terharu apabila permohonan mereka untuk memiliki rumah diluluskan.

Katanya, keceriaan dan senyuman mereka juga adalah kegembiraan bagi pihaknya.

“90 buah rumah tersebut telah berjaya disiapkan sejak dari tahun 2020.

“Nabi Muhammad SAW bersabda, antara kebahagian manusia ialah mempunyai kediaman yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.

“Selamat memulakan kehidupan baru di rumah baru dan tahniah kepada anda yang terpilih,” ujarnya.