Home Berita PAS Terengganu

851 PPS Sedia Tampung Lebih 215,000 Mangsa Banjir di Terengganu

3
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 851 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Terengganu disediakan bagi menampung kira-kira 215,392 mangsa banjir menjelang musim tengkujuh yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri, Dato’ Hanafiah Mat, berkata daripada jumlah itu, 23 PPS dikategorikan sebagai A (berkapasiti besar), 104 kategori B (sederhana) dan 724 kategori C (kecil).

“Secara keseluruhan, 247 bangunan sekolah dijadikan PPS, diikuti 131 dewan, 200 balai raya, 110 masjid, 97 surau, 50 pusat komuniti serta 16 lokasi lain.

“Bangunan sekolah yang digunakan tidak melibatkan bilik darjah sekolah menengah,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Menurut Hanafiah, jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM4.1 juta disediakan bagi menghadapi musim banjir, dengan RM2.8 juta daripada kerajaan Persekutuan dan RM1.3 juta daripada kerajaan negeri.

Beliau berkata, semua PPS akan diaktifkan sebaik sahaja terdapat mangsa dipindahkan selepas kawasan kediaman mereka dinaiki air.

Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana) Negeri, berkata semua agensi kerajaan pusat dan negeri kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh menjelang bencana yang dijangka bermula 13 November ini.

“Sebanyak tujuh gelombang banjir diramal berlaku sehingga Mac tahun depan. Justeru, penduduk terutama di kawasan rendah diminta tidak menunggu arahan rasmi, sebaliknya berpindah segera ke PPS apabila kawasan mula dinaiki air,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sistem saliran dengan perbelanjaan sebanyak RM12.5 juta.

“Kerja pembersihan dan penyelenggaraan telah dilaksanakan melibatkan kira-kira 1,200 kilometer sistem saliran di seluruh negeri termasuk pembersihan sungai, tali air, pembuangan kelodak, sampah serta tumbuhan liar.

“Selain itu, pembaikan struktur kawalan air seperti pintu air dan pengoperasian pam mudah alih juga dilakukan di kawasan berisiko banjir,” katanya.