Home Berita PAS Terengganu

76 Emas Sasaran bawa pulang kejuaraan SUKMA

7
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu meletakkan sasaran mengutip 76 pingat Emas, 36 Perak dan 106 Gangsa pada SUKMA XXI (ke-21) di Sarawak bagi merampas kembali kejuaraan pada temasya yang akan bermula kurang 20 hari lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, bagi mencapai hasrat tersebut bakal direalisasikan 568 atlet yang akan bertanding bermula 17 Ogos nanti.

“Pasukan bola sepak merupakan pasukan pertama yang membuka tirai SUKMA dengan menentang pasukan Johor pada 12 Ogos nanti. Kita berdoa supaya pasukan bola sepak kita bermula dengan langkah kanan yang akan memberi dorongan positif kepada pasukan-pasukan lain bagi sama-sama melangkah lebih jauh dalam sukan masing-masing.

“Daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan, kita menyertai 36 daripadanya iaitu 340 acara daripada 488 acara yang dipertandingkan. Kita percaya kesemua acara yang disertai pada kali ini, atlet negeri akan memperagakan prestasi terbaik serta memberi saingan yang sengit kepada lawan-masingmasing.

“Saya secara peribadi berpuas hati dengan keseluruhan persiapan yang telah dilaksanakan serta optimis pada 24 Ogos nanti, piala kejuaraan SUKMA 2024 akan kita arak ke kembali ke  bumi Terengganu, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan ucapan aluan dalam Majlis Penyerahan Bendera Kontijen SUKMA XXI Sarawak di Wisma Darul Iman, hari ini.

Penyerahan bendera disempurnakan Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan dihadiri lebih 200 atlet, jurulatih dan pengurus sukan.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Mohd Nor Hamzah, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya.