BESUT – Kira-kira 70 orang petani di Baruh Padi Gong Nibong, Jabi kini boleh menarik nafas lega apabila projek pembinaan jalan konkrit sepanjang 700 meter dijangka siap sepenuhnya sebelum musim menuai tiba, sekali gus memudahkan aktiviti pertanian mereka.
Jalan pertanian yang mempunyai lebar 12 kaki itu bakal memberi manfaat besar kepada pengurusan kira-kira 240 hektar kawasan sawah padi di kampung berkenaan, dengan kemudahan infrastruktur yang lebih kukuh dan efisien.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata projek penting itu dibina menggunakan peruntukan bajet negeri bagi memastikan hasil tuaian petani dapat diangkut keluar dengan lebih mudah dan teratur.
“Saya bercita-cita nak tengok semua jalan pertanian seperti ini, namun kekangan bajet membataskan hasrat tersebut.
“Oleh itu, kita melaksanakan secara berfasa dengan mengutamakan kawasan yang paling penting. Jalan pertanian Baruh Padi Gong Nibong ini dibina sepenuhnya menggunakan peruntukan negeri,” katanya.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, jalan konkrit tersebut direka dengan teliti menggunakan dua lapis BRC (Bent Reinforced Concrete) bagi memastikan ia cukup kuat dan tahan lasak menampung pergerakan jentera berat pertanian, terutama ketika musim hujan.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek kini berada di peringkat akhir, dengan hanya baki 150 meter pembinaan yang belum disiapkan.
Projek ini diharap dapat mengatasi masalah jalan tanah liat yang sering becak dan sukar dilalui semasa musim tengkujuh, selain meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kos pengangkutan hasil pertanian.
“Walaupun cuaca hujan sedikit mengganggu kelancaran kerja-kerja pembinaan, saya mohon semua bersabar. Kerja sedang giat dijalankan dan, insya-Allah, jalan ini boleh digunakan sebelum musim menuai tiba,” jelasnya.