Home Berita PAS Terengganu

668 Pegawai, Pesara Polis Terengganu terima PJPN

44
SHARE

KUALA NERUS – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini menyempurnakan anugerah Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada 408 daripada 668 Pegawai Kanan, Pegawai Rendah dan pesara Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu.

Istiadat Penganugerahan yang berlangsung di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) itu turut disaksikan Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) PDRM; DCP Mohd Alwi Zainal Abidin dan Ketua Polis Terengganu, DCP Dato’ Rohaimi Md Isa.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Terengganu, DCP Dato’ Wan Rukman Wan Hassan.

Seramai 17 pesara Polis DiRaja Malaysia (PDRM) terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) juga turut hadir menerima anugerh berkenaan atas bakti dan jasa sepanjang perkhidmatan mereka kepada negara.

Dr. Samsuri kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis tersebut, sempat merakamkan penghargaan atas pengorbanan para petugas keselamatan itu.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Polis kerana telah memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan PJPN bagi kumpulan terakhir di negeri terengganu ini.

“Tahniah kepada mereka, sesungguhnya jasa bakti mereka tidak dapat dibayar oleh mana-mana pihak kerana ia suatu pengorbanan kepada negara terutama ketika kita berdepan darurat dan ancaman komunis suatu ketika dahulu.

“Kepada mereka yang tidak dapat bersama, kita juga sangat menghargai peranan mereka. Para pegawai dan anggota yang sedang berkhidmat pada waktu ini, teruslah memberikan sumbangan kepada negara terutama untuk memastikan keharmonian berkekalan,” katanya.

PJPN dikurniakan bagi menghargai jasa kepahlawanan dan bakti petugas-petugas Polis dan PDRM kepada negara semasa era darurat dalam Perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu (12 Julai 1948 hingga 31 Julai 1960).

Ia juga bagi pengorbanan mereka dalam perkhidmatan semasa darurat di Sabah dan Sarawak pada 1962 hingga 17 Oktober 1990.