KUALA TERENGGANU – Bekalan makanan dan keperluan asas sebanyak 8.2 tan untuk kegunaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pertengahan bulan ini telah dihantar ke Pulau Redang dan Pulau Perhentian, bermula awal November baru-baru ini..
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Mazura Ngah Abdul Manan berkata, bekalan makanan dan keperluan asas terbabit mencukupi untuk keperluan 627 keluarga di kedua-dua pulau peranginan tersebut sehingga berakhirnya MTL pada bulan Mac tahun depan.
“Langkah ini dilaksanakan bagi memastikan bekalan keperluan asas mencukupi dan dapat diagihkan dengan segera kepada penduduk sekiranya berlaku bencana, khususnya apabila kedua pulau tersebut terputus hubungan akibat keadaan cuaca buruk atau banjir.
“Antara barang keperluan tersebut adalah beras, bihun, minyak masak, sardin ikan, kari ayam, garam, gula, teh, kopi, susu pekat dan biskut ,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, pelaksanaan misi penghantaran ini turut mendapat kerjasama erat daripada Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur Negeri Terengganu, yang menyediakan kemudahan kapal bagi memastikan penghantaran bekalan ke pulau-pulau berjalan dengan lancar.Turut bersama menjayakan misi ini ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang membantu dari aspek keanggotaan serta pengagihan bekalan sebaik tiba di pulau.
Dalama masa sama, Mazura berkata JKM sudah membuat persediaan sebagai langkah menghadapi bencana dengan mengenalpasti dan menyediakan sebanyak 855 PPS yang boleh memuatkan lebih 200,000 mangsa.
“Kita telah menempatkan bekalan bencana di Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) di Marang, 15 mini depoh dan 165 pangkalan hadapan yang terdapat di seluruh negeri bermula Oktober baru-baru ini yang dijangka selesai dalam masa terdekat,”ujarnya.
Sementara itu, menurut Malaysian Meteorological Department (MetMalaysia), Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 dijangka bermula pada 19 November 2025 dan berterusan sehingga Mac 2026, dengan lima hingga tujuh episod hujan lebat diramalkan sepanjang tempoh tersebut.
Sehubungan itu, orang awam disarankan agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah kesiapsiagaan awal menghadapi sebarang kemungkinan banjir, selain mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.





