KUALA TERENGGANU – Lebih 61,000 peminat Harimau Malaya yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Vietnam sempena kelayakan Piala Asia AFC semalam turut berduka dengan kemalangan yang mengorbankan 15 anak Terengganu dan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
EXCO Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih buat semua penonton yang berada di SNBJ di atas sikap yang ditunjukkan semalam.
“Terima kasih buat semua 61,000 penonton yang berada dalam Stadium Nasional Bukit Jalil atas kebersamaan menghulurkan simpati.
“(Juga) merakamkan takziah dan mendoakan kesejahteraan buat semua mangsa korban kemalangan anak-anak Terengganu yang merupakan penuntut UPSI sebelum sepak mula.
“Sepi seketika SNBJ,” ujarnya menerusi satu hantaran di media sosialnya, semalam.
Walau bagaimanapun, katanya perjuangan Harimau Malaya tetap perlu diteruskan.
Dalam pada itu beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri mengucapkan tahniah buat pasukan kebangsaan Harimau Malaya atas kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam.