KUALA TERENGGANU – Seramai 6,000 peserta membanjiri Pantai Batu Buruk sempena Hari Cuci Malaysia 2025 bersempena World Cleanup Day 2025 peringkat negeri Terengganu yang berlangsung semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu diadakan secara serentak di seluruh negara dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi negeri dan pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, syarikat pembersihan, sektor perumahan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat umum.
“Tujuannya adalah untuk melaksanakan aktiviti gotong royong bersepadu yang merangkumi pembersihan kawasan sekitar, menutup tapak sampah haram, serta menggerakkan kempen kitar semula.
“Pada masa yang sama, ia mendidik orang ramai supaya lebih peka terhadap pengurangan penggunaan plastik sekali guna,” jelasnya.
Beliau menegaskan, usaha itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan aspek kebersihan, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti terus terjamin.
Menariknya, program kali ini turut disertai pihak swasta seperti RD Paper dan Sally Global yang membuka booth e-waste dan booth belian minyak masak terpakai di kawasan tapak perasmian.
Sambutan orang ramai amat menggalakkan, menunjukkan kesedaran semakin meningkat terhadap kitar semula bahan terbuang.
Untuk rekod, setiap 1 kilogram minyak masak terpakai dibeli dengan harga RM2.50 bagi menggalakkan orang ramai menyumbang bahan terpakai tersebut untuk dijana semula menjadi tenaga boleh diperbaharui seperti biodiesel.