Home Berita PAS Terengganu

600 PPV hujung tahun ini

132
SHARE

Oleh :Nur ‘Afini Yahaya

KUALA TERENGGANU – Kerajaan menyasarkan sebanyak 600 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tetap Covid-19 dapat dibuka di seluruh negara menjelang akhir tahun ini bagi melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sehingga bulan depan sebanyak 357 PPV sudah dibuka dengan setiap satu PPV dapat mengendalikan antara 300 hingga 3,000 suntikan sehari.

“Kita akan terima lebih banyak bekalan vaksin selepas ini, jadi bilangan PPV akan ditambah di seluruh negara bagi memudahkan suntikan vaksin,” katanya selepas mengadakan lawatan ke PPV di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini pada Khamis.

Beliau berkata, selain PPV kekal, kerajaan juga akan mewujudkan PPV bersifat sementara seperti PPV Masjid yang bakal dilaksanakan di Terengganu dalam masa terdekat sebagai projek perintis.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkata, dalam penambahan PPV di seluruh negara, terdapat beberapa isu yang perlu diperhalusi seperti petugas kesihatan yang melakukan suntikan dan kakitangan yang bertugas di PPV itu sendiri.

“Kita kena pastikan mereka ini mendapat rehat yang mencukupi dan sebab itu kita melihat alternatif lain daripada Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) dan sebagainya untuk turut serta bertugas di PPV.

“GP yang berdaftar dengan kita kira-kira 2,500 orang dan daripada jumlah itu seramai 1,800 sudah diluluskan, jadi apabila bekalan vaksin mencukupi, mereka akan menerima vaksin bagi membolehkan mereka melaksanakan vaksinasi di pusat masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Amzad memaklumkan, kerajaan yakin sasaran untuk mencapai imuniti kelompok sebanyak 80 peratus dalam negara pada hujung tahun ini dapat direalisasikan mengikut jadual yang dirancang.

Bagaimanapun katanya, setakat ini empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Sabah masih menjadi negeri terendah dari segi pendaftaran dan pemberian vaksin iaitu sekitar 40 peratus berbanding negeri lain.

“Antara puncanya adalah dakyah negatif mengenai vaksin, jadi saya minta kerjasama semua pihak supaya tapis dahulu maklumat yang mereka terima kerana ada keadaan di mana hujah agama digunakan untuk mempengaruhi orang ramai menolak vaksin.

“Saya juga menghargai usaha negeri-negeri yang mengambil langkah tegas dengan pastikan kuliah agama di masjid dan surau adalah selari dengan hasrat kerajaan menggalakkan rakyat menerima suntikan vaksin,” katanya.