BESUT – Sebanyak 600 pek makanan telah diagihkan kepada mangsa banjir di Hulu Besut Misi Pasca Banjir yang dianjurkan oleh Muslimat PAS Terengganu.
Ketua Muslimat Besut, Ustazah Fadilah Syed Hamid berkata pek hidangan tengah hari itu diedarkan di Kampung La, Seberang La, Anchor dan Pasir Badak.
“Sempena Misi Pasca Banjir ke Hulu Besut, Muslimat turut mengadakan gotong royong Dapur Rakyat untuk meringankan beban kepada penduduk yang sibuk mencuci rumah mereka,” ujarnya.
Beliau bercakap demikian ketika dihubungi mengulas program yang diadakan pada 3 Disember di sini.
Misi yang diketuai oleh Naib Ketua Muslimat PAS Terengganu, Zuraida Md Noor turut disertai Pengerusi KHIDMAT Malaysia Besut, Ismail, Ameerah Terengganu, Ameerah Besut, Briged Muslimat Kawasan Besut dan Muslimat PAS Hulu Besut dan Kuala Besut.
Menurut Fadilah, dua buah rumah termasuk milik warga emas telah dipilih untuk dibersihkan.
“Alhamdulillah dapat membantu mereka yang diuji dengan musibah banjir dan mewakili muslimat di DUN Hulu Besut khususnya saya ucapkan ribuan terima kasih kepada team YB Da di atas segala bantuan yg diberikan,” katanya.