Home Berita PAS Terengganu

60 Penjawat awam terengganu terima APC

47
SHARE

KUALA TERENGGANU – Seramai 60 warga perkhidmatan awam Negeri Terengganu terdiri daripada pelbagai gred dan jawatan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dalam majlis yang berlangsung di Wisma Darul Iman, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, penghargaan tersebut bagi mengiktiraf pegawai dan kakitangan negeri yang telah menunjukkan prestasi perkhidmatan cemerlang dalam khidmat bakti kepada pentadbiran kerajaan Negeri Terengganu.

“Komitmen, iltizam dan kesungguhan yang diberikan oleh semua warga kerja penjawat awam negeri Terengganu ini yang saya dapat sifatkan sebagai menjadi teras kewibawaan dan kekuatan kita untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua.

“Pentadbiran negeri sangat komited dalam mengiktiraf hasil kerja, komitmen dan jasa yang diberikan oleh penjawat awam dengan menyediakan pelbagai anugerah,” ujarnya ketika berucap di Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Negeri Terengganu 2022  yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu.

Pada majlis tersebut, penerima APC menerima insentif berupa wang tunai RM5,000, plak serta sijil penghargaan.

Katanya, dengan pemberian APC tersebut ianya diharap dapat menggalakkan lagi pegawai dan kakitangan untuk terus memberikan komitmen dan daya usaha untuk mempertingkatkan lagi produktiviti dan mutu kerja yang berkualiti.

“Ini sekali gus menjadikan perkhidmatan kerajaan kekal sebagai perkhidmatan yang relevan dan diyakini oleh rakyat.

“Pengiktirafan ini juga seharusnya mewujudkan persaingan yaang sihat di kalangan semua pegawai dan kakitangan untuk membuktikan keupayaan masing-masing menghasilkan perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua penerima dan mengharapkan anugerah tersebut dapat menjadi suntikan motivasi dan juga penghargaan kepada semua penjawat awam.

“Semoga dengan pengiktirafan ini akan membangkitkan lagi semangat untuk mencurahkan bakti kepada negeri dan negara serta meningkatkan azam untuk berusaha dengan lebih gigih dan penuh iltizam pada masa akan datang bagi menaikkan lagi imej pengkhidmatan awam,” ujarnya.