KUALA TERENGGANU – Sebanyak 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh Malaysia menyokong usaha Kerajaan Terengganu memperkukuhkan kawalan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terhadap vape.
Jurucakap Gabungan NGO berkenaan memaklumkan, perluasan skop penguatkuasaan yang akan berkuat kuasa 1 Ogos depan perlu disebarluaskan ke seluruh negara.
”Ini termasuk meneruskan larangan yang sedia wujud untuk tidak mengeluarkan lesen kepada penjualan vape.
”Selain tindakan tegas mengikut undang-undang kecil yang digubal di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) berupa hukuman kompaun, sita dan pendakwaan di mahkamah.
”Kerajaan tidak menerima sebarang bentuk tajaan daripada mana-mana syarikat pengeluar atau pengedar vape bagi apa jua penganjuran acara melibatkan kerajaan negeri dan tidak membenarkan iklan vape dipamerkan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, gabungan NGO Seluruh Malaysia juga berpendapat peluasan skop larangan PBT ini adalah wajar mengambil kira situasi semasa yang semakin tidak terkawal.
”Ini kerana, vape mengandungi dadah sintetik berbahaya dan penyalahgunaan vape dikaitkan dengan dadah dan boleh menyebabkan kematian.
”Kami juga menyokong usaha kerajaan negeri menjaga kebajikan pengusaha dan pekerja kedai vape melalui tawaran latihan keusahawanan alternatif yang lebih selamat serta peralihan selama tiga bulan sebelum penguatkuasaan penuh,” ujarnya.