Home Berita PAS Terengganu

54 pelajar cemerlang SPM di Jabi terima imbuhan

8
SHARE

Oleh : Hidayah Azlin @trdi.my

SETIU, 30 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim tidak terlepas untuk meraikan kejayaan 54 pelajar yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 meskipun dalam suasana Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa 1.

Menurut Dr Azman, individu yang mendapat keputusan 6A dan ke atas tetap diraikan walaupun berdepan dengan keadaan yang sangat mencabar di era pandemik Covid-19 ini.

“Walau apa pun situasi, kita tetap perlu kuat untuk mengembirakan orang lain. Sejak dua hari lepas, alhamdulillah hari ini telah selesai masuk kampung seluruh DUN untuk berjumpa dengan anak-anak SPM 2020 dan menyampaikan sedikit hadiah kepada mereka.

“Terdapat seorang pelajar cemerlang Terengganu dengan keputusan 12 A, pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Besut dari Kampung Tempinis, Jabi.

“Bersedialah untuk memulakan alam baru lepas SPM. Perjalanan masih sangat jauh lagi,” katanya selepas mengagihkan sumbangan penghargaan kepada pelajar cemerlang SPM, di sini.

Bercakap mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih disambung di Terengganu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri berkata Kerajaan Negeri telah memberikan hujah-hujah kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar rakyat Terengganu boleh keluar dari fasa satu ke fasa dua.

“Rakyat Terengganu juga telah berusaha sebaiknya untuk patuh kepada ‘Standard Operating Procedure’ (SOP). Peningkatan kes baru di negeri kita antara yang terendah selepas Perlis.

“Program vaksinasi mendapat sambutan hangat sampai tak cukup vaksin. Paling penting kita nak rakyat boleh kerja cari makan semula. Tapi Majlis Keselamatan Negara (MKN) ada ukuran dan pertimbangan yang diguna pakai, antaranya kadar peratusan rakyat Terengganu yang telah menerima dua dos vaksin masih lagi belum mencapai tahap 10 peratus,” jelasnya.

Tambahnya, rakyat hari ini sudah terlalu tertekan dengan situasi sekarang. Kerana itulah Kerajaan Negeri telah dan akan terus berusaha sebaiknya untuk keluar dari sekatan itu.