Home Berita PAS Terengganu

54 ahli Umno sertai PAS di Dun Ru Rendang

1464
SHARE

MARANG: Usaha PAS untuk kembali menguasai Terengganu pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) ini semakin terserlah apabila seramai 54 ahli Umno menyerahkan borang menyertai parti itu, malam tadi.

Sebanyak 40 borang permohonan keahlian PAS diserahkan kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang oleh wakil mereka, Roslan Yusof pada Majlis Dialog Anda Tanya Tok Guru Jawab di kawasan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Kerak, dekat sini. Turut hadir ialah calon PAS bagi Dun Ru Rendang, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sementara itu, Roslan, 51, memberitahu sebanyak 40 borang diserahkan pada malam ini sementara 14 borang lagi akan diserahkan pada masa lain.

“Saya sertai PAS kerana terbuka hati terima PAS, kerana keluarga sebelah isteri banyak orang PAS, bukan kerana habuan,” ujarnya.

Beliau yang menjadi ahli Umno selama 25 tahun berkata, akan berusaha untuk menarik rakan-rakannya agar menyertai PAS.

“Saya berharap mereka supaya boleh berhijrah untuk sertai PAS, kita akan tarik mereka sertai PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/4/2018