Oleh: Jaudin M Amin
BUKIT GANTANG : Seramai 526 pelajar menerima sumbangan peralatan sekolah anjuran PAS Kawasan Bukit Gantang baru-baru ini.
Program tahunan sempena pembukaan sesi persekolahan baru melibatkan pelajar-pelajar dari golongan asnaf dari tiga DUN dalam Parlimen Bukit Gantang disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad dalam dua majlis berasingan.
Dalam ucapannya, Idris melahirkan rasa gembira dengan kelangsungan program tahunan ini yang sedikit sebanyak meringankan bebanan golongan asnaf dalam menyempurnakan persiapan persekolahan anak-anak.
“Ibubapa mesti menitik beratkan pendidikan anak-anak kerana dengan ilmu yang dimiliki dapat membantu mereka membina kehidupan yang lebih baik. Ibarat benih yang baik, dilontar ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi bukit.
“Ibubapa juga perlu memantau perkembangan persekolahan anak-anak dengan memastikan mereka menyempurnakan kerja sekolah setiap hari dan tidak bergantung sepenuhnya kepada guru-guru untuk mencipta kecemerlangan anak-anak kita.
Berikutan penularan virus Covid-19 yang kembali meningkat, Idris berpesan agar ibubapa menitik beratkan kesihatan anak-anak dengan mematuhi prosedur kawalan penyakit seperti memakai penutup separuh muka dan menjaga penjarakkan fizikal.
“Kita bertawakkal kepada Allah, namun ikhtiar perlu dilakukan dengan memastikan anak-anak kita melengkapkan pengambilan vaksin Covid-19 yang kini dibuka kepada anak-anak dari usia tujuh tahun.
Turut hadir, Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Haji Rahim Ismail, Naib Yang Dipertua, Muhammad Faisal Abdul Rahman dan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Kawasan, Hajjah Norzuhrah Abu Bakar.
Program pertama melibatkan penerima dari DUN Changkat Jering dan Kuala Sepetang berlangsung di Pusat Tarbiah PAS Cawangan Kampung Jelapang manakala program kedua untuk DUN Trong berlangsung di Dewan Perdana Mukim Trong.