Home Berita PAS Terengganu

525 Orang Veteran ATM Tidak Berpencen Terima Sumbangan Bakul Makanan

1
SHARE

DUNGUN – Seramai 525 orang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen serta para balu wira negara, menerima sumbangan bakul makanan daripada Ahli Parlimen Dungun di Dewan Arena Merdeka, semalam.

Ahli Parlimen Dungun selaku Penaung Persatuan Veteran ATM Cawangan Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, penyerahan bantuan berkenaan adalah lambang penghargaan dan kasih sayang masyarakat kepada para veteran ATM yang telah menabur bakti demi keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan negara.

“Walaupun nilai sumbangan ini mungkin tidak sebesar pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan, namun ia diharapkan dapat sedikit sebanyak meringankan beban kehidupan seharian.

“Saya sentiasa menegaskan bahawa kebajikan Veteran ATM perlu menjadi salah satu keutamaan dalam agenda pembangunan daerah dan negara.

“Golongan veteran adalah aset penting yang tidak boleh kita lupakan. Mereka telah memberikan tenaga, masa, dan sebahagian besar hidup mereka untuk mempertahankan tanah air yang kita cintai ini.

“Didoakan semua Veteran ATM dan keluarga terus dikurniakan kesihatan, kekuatan, dan kesejahteraan. Semoga hubungan erat antara persatuan dan masyarakat akan terus kukuh demi memastikan kebajikan veteran terus terpelihara,” katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan tersebut.