Home Berita PAS Terengganu

500 Mahasiswa mesir gembira terima penempatan baru

56
SHARE

KUALA TERENGGANU – Lebih 500 mahasiswa Terengganu di Mesir gembira menerima sebuah bangunan baharu 10 tingkat di Hayyu Sabik selepas beberapa tahun menginap dalam suasana ‘suram’.

Ketua Biro Perumahan Keluarga Penuntut Mesir, Muhammad Khairul Anam Ahmad berkata, usaha kerajaan negeri di bawah pimpinan Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri itu merealisasikan impian pelajar Terengganu yang sudah lama memohon kediaman lebih selesa.

“Kami sangat teruja di atas pemberian ini dan sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri khususnya kepada Menteri Besar kerana telah hadir sendiri bagi merasmikan bangunan ini.

“Sejujurnya saya sendiri ketika mula-mula datang ke sini pada tahun 2019 ingin menginap di bangunan baharu seperti Wisma Darul Iman ini yang mampu memuatkan lebih ramai pelajar dengan kapasiti 10 tingkat dengan 64 bilik yang mampu menempatkan 256 pelajar dalam satu-satu masa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi UPDI hari ini.

Sementara itu Ketua pelajar Terengganu di Mesir, Muhammad Munawir Al-Masyhadi M. Shukrimun berkata dengan adanya penempatan baharu itu, ia membantu untuk anak-anak Terengganu menimba ilmu dalam suasana lebih kondusif dan selesa.

“Ia sangat mengembirakan pelajar-pelajar Terengganu di sini yang mana asrama lama sebelum ini tidak mampu lagi menampung jumlah pelajar yang setiap tahun bertambah bilangannya.

“Saya juga mengharapkan agar kalau boleh ditambahkan lagi bangunan baru di masa akan datang untuk memastikan pelajar dari Terengganu ini tidak menghadapi masalah penempatan,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Muhammad Afifuddin Khalid, turut berterima kasih kepada kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu telah bersusah payah berusaha bagi memastikan masalah yang selama ini dihadapi berkait penempatan dapat diselesaikan.

“Kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Menteri Besar, kerana telah bertungkus lumus bagi memudahkan kami di sini untuk terus menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh,” ujarnya.