Home Berita PAS Terengganu

50 Usahawan Terengganu sertai Himpunan SERU25 di Putrajaya

21
SHARE

KUALA TERENGGANU – Seramai 50 usahawan dari Terengganu bakal menyertai acara mega Himpunan 1000 Usahawan, SERU25 yang akan berlangsung di Putrajaya bermula 1 hingga 3 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ariffin Deraman berkata, penyertaan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif memperkasakan jaringan keusahawanan negeri di pentas nasional.

“Acara ini menghimpunkan usahawan dari pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, fesyen Muslimah, teknologi, pertanian serta perkhidmatan digital dengan matlamat mewujudkan ruang perkongsian ilmu, jaringan strategik dan peluang kerjasama rentas industri.

“Ia bertujuan memperkukuh sinergi dan dapat membina hubungan ‘circle’ bersama usahawan-usahawan di samping meluaskan jaringan perniagaan di pasaran luar,”katanya ketika dihubungi pemberita.

Program anjuran Ku Haraki Malaysia sempena ulang tahun ke-10 penubuhannya itu dijangka menghimpunkan lebih 1,000 usahawan Bumiputera Muslim dari seluruh negara.

Tambah Ariffin, Kerajaan Negeri Terengganu menerusi agensi berkaitan keusahawanan telah membawa delegasi ke Thailand dan Indonesia bagi meninjau peluang pasaran serta menjalankan kajian strategik untuk menembusi pasaran serantau, khususnya ASEAN.

“Langkah ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk memperkukuh kedudukan produk usahawan Terengganu di pasaran antarabangsa, di samping meningkatkan daya saing produk tempatan di pentas global.

“Pihak kami komited untuk terus menyokong penglibatan aktif usahawan Terengganu dalam perdagangan antarabangsa selaras dengan matlamat meningkatkan ekonomi negeri menerusi pemerkasaan sektor PKS dan eksport,” ujarnya lagi.

Menurut Ketua Pengarah Ku Haraki Malaysia, Shuhaimi Embong, penyertaan usahawan dari pelbagai negeri termasuk Terengganu membuktikan kesungguhan komuniti usahawan dalam memacu pembangunan ekonomi ummah secara kolektif.

Katanya, himpunan yang membawa tema “Dari Usahawan Kepada Usahawan, Bersama Berjaya” itu bakal menampilkan pelbagai pengisian menarik seperti bengkel keusahawanan, pameran produk dan servis, sesi perkongsian bersama ikon usahawan, forum, slot Business to Business (B2B), serta showcase 200 produk usahawan di galeri Ku Haraki.

“Program ini turut akan diserikan dengan kehadiran Exco usahawan dari tiga negeri – Kedah, Kelantan dan Terengganu termasuk  Datuk Ariffin Deraman, sebagai tetamu kehormat.

“Majlis ucaptama pula akan disampaikan oleh konsultan pembangunan usahawan, Datuk Dr. Mazlan Ahmad, anak Terengganu yang juga merupakan rakan strategik Ku Haraki sejak tahun 2015,” ujar beliau.

Orang ramai khususnya usahawan dan bakal usahawan dijemput hadir bagi memanfaatkan peluang rangkaian perniagaan, mendapatkan inspirasi serta menyokong produk tempatan berteraskan nilai Islam.