KUALA TERENGGANU – Situasi banjir di negeri ini tidak menunjukkan perubahan positif apabila jumlah penduduk yang terjejas kini mencecah 43,273 mangsa daripada 11,707 keluarga.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, semua mangsa banjir kini berlindung di 307 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah di negeri ini.
Sehingga jam 10 pagi ini, katanya, daerah Besut masih mencatatkan mangsa tertinggi iaitu seramai 16,091 daripada 4,303 keluarga dan berlindung di 121 PPS.
“Jumlah mangsa banjir di daerah Hulu Terengganu adalah seramai 7,073 mangsa daripada 2,204 keluarga dan berada di 59 PPS.
“Seramai 6,248 mangsa daripada 1,645 keluarga berlindung di 49 PPS di daerah Setiu, manakala di daerah Dungun mencatatkan jumlah mangsa seramai 6,472 daripada 1,628 keluarga di 39 PPS,” ujarnya.
Menurutnya, jumlah mangsa banjir yang berlindung di 10 PPS di daerah Kemaman adalah seramai 1,230 mangsa daripada 340 keluarga.
“Seramai 2,399 mangsa daripada 648 keluarga daripada daerah Kuala Nerus menghuni 12 PPS manakala mangsa di daerah Kuala Terengganu adalah seramai 2,987 daripada 739 keluarga dan berlindung di sembilan PPS.
“Hanya 773 mangsa daripada 200 keluarga berlindung di lapan PPS di daerah Marang,” katanya.