Home Berita PAS Terengganu

40 Tahun Pemuda PAS Dungun, Berjaya Buktikan Kematangan

1288
SHARE

DUNGUN-  Pelbagai kejayaan demi kejayaan yang dilakarkan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun hasil daripada kepayahan yang diharungi selama 40 tahun penglibatan untuk menggerakkan orang muda bersama dengan Islam, membuktikan kematangan dewan tersebut.

Sambil mengakuinya, Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli, melahirkan harapan supaya Pemuda PAS kawasan yang secara tidak langsung menjadi duta PAS Kawasan Dungun untuk menarik seramai mungkin pemuda bersama dengan PAS di dalam pilihan raya umum ke 14 nanti.

“Didik anak-anak kamu di zaman mereka tidak di zaman kamu, anak muda zaman mereka…”

“ Zaman alam maya, ada gajet…kita jangan menghalang, tetapi mengarahkannya kepada perjuangan Islam,” ujar Ahli Parlimen Dungun itu yang juga mantan Ketua Pemuda PAS Dungun di Himpunan Pemuda Islam Dungun (PERIDU).

Pada himpunan yang diadakan  sempena Karnival 40 tahun Pemuda PAS Dungun di perkarangan Surau Tuan Guru  Haji Zainal Abidin, Sura Gate, pada 14 Oktober yang lalu itu, mereka turut berikrar untuk terus bersama PAS selagi dasar perjuangannya adalah Al-Quran dan As-Sunnah.

Justeru itu, Ketua Pemudanya, Ustaz Fadhli Rahmi Zulkefli  berkata meraikan usia 40 tahun penubuhan memberi maksud bahawasanya DPPKD perlu beraksi dengan lebih agresif dan matang, sesuai dengan gagasan yang dibawa oleh PAS “Budaya Politik Matang & Sejahtera”.

“ Mendekati para mad’u termasuk pegawai-pegawai kerajaan agar sama-sama memperjuangkan Islam serta menzahirkannya dalam kehidupan,” jelas beliau.

Fadli seterusnya menegaskan bahawa anak muda Dungun lebih selesa dan berkeyakinan Islam adalah jalan penyelesaian kepada segala masalah yang timbul dalam negara Malaysia hari ini.
Tambahnya lagi, karnival selama tiga hari bermula 12 Oktober itu telah berjaya menghimpunkan jentera pemuda Islam di Dungun bagi mewujudkan rasa kasih dan sayang pada agama Islam juga menzahirkan persiapan anak muda Dungun yang bersedia untuk menghadapi suasana PRU 14.

Beliau turut melahirkan kesyukuran kerana karnival tersebut mendapat sambutan yang begitu meriah daripada anak-anak muda di kawasan Dungun menerusi pelbagai slot dan acara sukan pemuda yang diadakan seperti Konsert Kembalilah 3, Santai Dakwah, sepak penalti, pertandingan PS4 , persembahan silat, silap mata dan persembahan pelajar PASTI.

Selain itu, lebih kurang 1000 pemuda berkonvoi mengiringi Daie Sejuta Ummah, Al Fadhil Ustaz Azhar Idrus  ke pentas ‘Santai Bersama Ustaz Azhar Idrus’.