Home Berita PAS Terengganu

40 Tahun Hidup Bersumberkan Air Telaga

246
SHARE

SETIU, 29 Mei – Penantian kira-kira 40 tahun penduduk Kampung Wakaf Tengah, Gong Awang Lib dan Mengabang Lekor di sini untuk mendapatkan bekalan air bersih secara terus ke rumah berakhir selepas pemasangan paip utama mula berjalan.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar memberi manfaat kepada lebih 30 buah keluarga.

Katanya, selama ini keluarga terbabit bergantung hidup kepada air telaga sepenuhnya.

“Kos bagi sambungan baru amat tinggi dan dikhuatiri menjadi beban kepada penduduk yang baru membuat permohonan.

“Jadi saya mewakili pihak DUN mengucapkan terima kasih kepada pihak Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir yang selama ini begitu cakna untuk  menyelesaikan masalah ini.

“Selama ini kediaman penduduk yang berada di jalan utama tidak menghadapi masalah, namun penduduk yang tinggal jauh sedikit dari jalan besar sebaliknya.

“Alhamdulillah sangat bersyukur apabila masalah ini telah diatasi, dan sekarang ini projek pemasangan paip ini sedang dijalankan lebih 50 peratus, seluruh penduduk menyambut gembira,” ujarnya kepada pemberita semalam.

Dalam pada itu, Shafizi mengharapkan agar penduduk Kampung Wakaf Tengah, Gong Awang Lib dan Mengabang Lekor akan dapat melakukan aktiviti harian seperti kawasan lain.

“Bekalan air yang diterima akan membantu penduduk memenuhi keperluan harian.

“Juga diharapkan anak-anak muda yang berhajat untuk mendirikan rumah di kampung ini dapat diteruskan, selama ini alasan mereka disebabkan ketiadaan bekalan air, semoga kawasan ini selepas ini akan pesat membangun dan akan membantu penduduk bagi melakukan pelbagai kegiatan ekonomi,” ujarnya.

Sementara itu, bagi penduduk kampung, kemudahan ini adalah sesuatu yang amat dinantikan mereka.

Anuar Ngah, 51, berkata khabar terbaru itu sangat mengembirakan dirinya setelah sekian lama tinggal di kampung terbabit.

“Selama ini saya terpaksa bergantung dengan air telaga. Kalau hujan adalah air kalau tidak telaga akan jadi kering, untuk air minum pula kita ambil air dari surau.

“Sekarang ini rasa suka sangat alhamdulillah, terima kasih kepada seluruh pihak yang terlibat termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” ujarnya.