KUALA TERENGGANU – Berbaki 365 hari menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang akan berlangsung di Selangor, kontinjen SUKMA Terengganu digesa melipat gandakan usaha bagi menghadapi temasya sukan terbesar kebangsaan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, mengambil kira pencapaian SUKMA 2024 yang lalu di Sarawak menunjukkan petanda bahawa kontinjen perlu berkerja keras dalam sama-sama untuk kembali menjadi juara.
“Tiada istilah mustahil dalam perjuangan ini, kerana tempoh setahun ini adalah masa terbaik untuk memperkemas dan melaksanakan secara serius strategi-strategi yang telah kita gariskan. Dalam masa yang sama, strategi tambahan perlu dirancang dan dilaksanakan supaya kita sentiasa berada di depan berbanding pesaing-pesaing kita.
“Para jurulatih perlu memainkan peranan yang penting dan rapi supaya kita mampu mengatasi mereka menjelang kejohanan sebenar nanti. Latihan-latihan perlu dirancang secara serius dan strategi yang digunapakai sebelum ini perlu dipatuhi terutamanya kehadiran latihan mestilah mencapai sekurang-kurangnya 85%.
“Pengurus pasukan dan jurulatih perlu memantau dengan lebih mendalam prospek lawan dari negeri-negeri lain. Di samping itu, perlu juga dibuat penilaian dan perbandingan menyeluruh bagi pasukan-pasukan yang telah dikenalpasti atlet-atlet sasaran pingat mereka. Inilah masanya mereka diberikan latihan yang berkualiti supaya sasaran mampu dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Selangkah Mencipta Gemilang – Misi Emas Bermula bagi Kontinjen Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Jelasnya lagi, usaha luar biasa itu turut dipantau Panel Penilai Prestasi Atlet SUKMA (Presma) yang digerakkan bagi melakarkan gerak langkah kontinjen untuk bangkit semula pada SUKMA kali ini.
“Selepas dari SUKMA Sarawak tempoh hari kami terus menggerakkan jawatankuasa Presma yang diketuai Ibni Amin Busu dan disertai pakar-pakar yang dilantik secara rasmi untuk meneliti secara keseluruhan dan menyusun perancangan gerak kerja latihan kepada para atlet.
“Tanpa dinafikan, semua kontinjen bersaing hebat dengan Terengganu, jadi kita tidak boleh pandang mudah dan buat yang terbaik,” ujarnya.
Dalam majlis berkenaan, Hishamuddin dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Nara Setia turut menyempurnakan pelancaran logo dan slogan ‘Terengganu Nelang’ yang akan digunakan sebagai laungan pembakar semangat kontinjen.
Majlis turut dihadiri Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya.
Sebagai rekod, SUKMA Selangor 2026 akan mempertandingkan 34 jenis sukan dengan 30 sukan wajib dan empat sukan pilihan iaitu Catur, Kabadi, E-Sukan dan Kriket.
Hishamuddin juga memaklumkan, masih ada lagi cadangan sukan tambahan oleh Sekretariat SUKMA Selangor iaitu sukan Silambam, Muaythai dan Petanque.
Katanya, ketiga-tiga sukan tambahan itu akan diputuskan dalam mesyuarat khas yang akan diadakan esok.