KUALA TERENGGANU, 2 September – Seramai 3,500 peserta telah memeriahkan program berbasikal atau TSG Shimano Fellowship Ride 2023.
Penganjuran berprestij oleh kerajaan negeri melalui Terengganu Polygon Cycling Team itu bukan hanya disertai peserta dalam negara bahkan juga turut menerima penyertaan dari Singapura, Indonesia dan Thailand.
Pada pagi tadi, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli telah menyempurnakan pelepasan program berkenaan, di Dataran Batu Burok.
Program berbasikal tersebut yang dijayakan pihak TSG itu turut melibatkan kerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Terengganu.
Jarak yang perlu dilalui oleh peserta adalah sejauh 94 kilometer membabiitkan dua hentian pertama iaitu Bandar Baru Kuala Nerus dijadikan sebagai ‘Water Station 1’ dan Terengganu International Indurance park dijadikan ‘Water Station 2’.
Bermula dari dataran peserta akan melalui jalan ke Masjid Terapung dan akan menggunakan Bypass Tok Adis dan kemudian akan melalui Jambatan Manir dan Kampung Wakaf Mesira untuk sampai ke ‘Water Station 1’.
Kemudian peserta akan ke ‘Water Station 2’, dari situ peserta akan bergerak untuk menamatkan kayuhan melalui Bulatan Batu Rakit, Pantai Teluk Ketapang seterusnya ke Dataran Jambatan Angkat sebelum berakhir dinDataran Rekreasi Batu Burok melalui Jambatan Angkat.
Program berkenaan turut menyediakan pelbagai hadiah cabutan bertuah dengan hadiah utamanya adalah sebuah Kereta Perodua Bezza.