SETIU – Seramai 35 usahawan kecil menerima suntikan modal pinjaman tanpa faedah berjumlah RM418,000 menerusi Program Jaya Diri (PJD), sebuah inisiatif dari Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata program itu bertujuan membantu usahawan kecil-kecilan memulakan atau mengembangkan perniagaan seperti kedai makan, jahitan pakaian, kedai runcit dan sebagainya.
“PJD bukan sekadar pinjaman kewangan, tetapi peluang untuk rakyat membina kehidupan lebih baik.
“Hari ini adalah hari bertuah untuk semua penerima, pinjaman ini boleh menjadi permulaan untuk mengubah kehidupan keluarga dengan rezeki perniagaan di masa akan datang,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Modal PJD Peringkat Negeri di Dewan Perpustakaan Awam Daerah Setiu, di sini semalam.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri; Mohd Yusop Majid, Penyelaras DUN Permaisuri; Zul Bhari A Rahman.
Beliau turut menjelaskan keunikan pinjaman ini yang bebas faedah, sejajar dengan prinsip Islam.
“Pinjaman tanpa riba atau bunga ini istimewa, bila kita gunakannya dengan betul, ia akan membawa keberkatan dalam perniagaan dan bakal dilimpahi rezeki yang mencurah.
“Sebanyak RM418,000 telah diagihkan kepada 35 peserta, termasuk 11 dari Besut, 22 dari Setiu, dan dua dari Marang.
“Setiap peserta menerima pinjaman antara RM5,000 hingga RM20,000 berdasarkan jenis perniagaan yang dijalankan,” jelasnya.
Menurut Maliaman, kebanyakan penerima bantuan adalah ibu tunggal yang memikul tanggungjawab besar mengurus keluarga sambil mencari rezeki.
“Saya sangat kagum dengan kekuatan para ibu ini yang gigih berusaha untuk anak-anak mereka.
“Komitmen membayar balik pinjaman adalah cabaran yang perlu ditempuhi.
“Jika kita jujur dan bersungguh-sungguh, rezeki pasti akan datang, cuma cepat atau lambat,” tegasnya.
Maliaman turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan terus meneliti permintaan untuk meningkatkan jumlah modal pinjaman berdasarkan keperluan dan potensi perniagaan.
“Kerajaan sentiasa terbuka untuk menambah baik program ini demi kesejahteraan rakyat.
“Kami sentiasa meneliti hasrat dan keperluan untuk menambah jumlah modal pinjaman pada masa hadapan, bergantung kepada situasi kewangan dan potensi peserta,” katanya.
Tambah Maliaman, PJD selaras dengan konsep ‘negeri berkebajikan’, di mana kerajaan membantu rakyat dan rakyat turut menyokong satu sama lain.
“Program ini diharap dapat menjadi jalan keluar dari belenggu kemiskinan dan memberi peluang untuk semua bangkit memajukan diri.
“Inisiatif ini diharapkan memberi semangat baru kepada usahawan kecil untuk terus mengorak langkah maju ke hadapan,” ujarnya.