KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bakal melakukan pemantauan yang lebih tegas terhadap 33 buah premis perniagaan makanan menjelang Ramadan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pihaknya telah meletakkan beberapa buah premis di seluruh negeri itu kerana dikenal pasti menjalankan aktiviti bertentangan syariah Islam.
“Setakat ini kita dapat mengenal pasti terdapat 33 premis di seluruh negeri dan tindakan yang kita telah ambil pada masa ini ialah kita beri nasihat dahulu sebagai amaran awal.
“Selepas itu, kita akan membuat pemantauan berterusan terutamanya di premis-premis ini di sepanjang bulan Ramadan,” ujarnya kepada pemberita selepas melancarkan ‘Ops Supik Hitam’ di Dewan Auditorium, JHEAT, semalam.
Muhammad Khalil turut mengingatkan, pemilik premis berkenaan bahawa kegagalan mematuhi undang-undang yang khusus pada bulan Ramadan boleh dikenakan denda sepertimana termaktub dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, di bawah Seksyen 19: Tidak Menghormati Ramadan.
Menurutnya, operasi yang telah dilancarkan akan dianggotai oleh pasukan penguatkuasa daripada JHEAT dan kerjasama daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Jumlah keanggotaan untuk operasi di bulan Ramadan ini terdiri daripada 91 orang anggota.
“Dan Insya-Allah usaha kerajaan negeri bersama pihak JHEAT ini akan dibantu bersama pihak PBT dalam menjalankan ‘Ops Supik Hitam’ ini.
Menurutnya, kerjasama dan penyelarasan agensi serta jabatan-jabatan yang terlibat seperti penglibatan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melalui PBT merupakan salah satu komponen penting bagi pelaksanaan operasi tersebut.
“Kesungguhan kerajaan negeri berkaitan pelaksanaan syariah ini, kita perkasakan juga dari sudut pelarasan bersama agensi dan juga jabatan lain yang berkaitan.
“Khususnya MBKT kerana PBT ini di bawah MBKT. Contohnya, kita nak ambil tindakan kepada peniaga yang menjual makanan di siang hari pada bulan Ramadan, jadi penguatkuasa agama hanya boleh menangkap orang yang tidak berpuasa manakala tindakan terhadap premis di bawah PBT.
“Oleh kerana itu, pentingnya kita selaraskan pelaksanaan ini (disebabkan oleh bidang kuasa yang berlainan),” katanya.