Home Berita PAS Terengganu

320 Wanita sertai Program Tani jana sumber pendapatan

7
SHARE

KUALA TERENGGANU – Program Lamanita yang melibatkan penyertaan seramai 320 wanita daripada 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Terengganu diyakini mampu menjadi pemangkin kepada usaha memperkasakan wanita melalui bidang pertanian.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, YB Zuraida Md Noor berkata, program anjuran Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) dengan kerjasama Exco Pertanian dan Kebajikan itu bertujuan menjadikan pertanian sebagai sumber ekonomi baharu kepada golongan wanita, khususnya suri rumah, ibu tunggal dan wanita bekerjaya.

“Saya yakin program ini akan memberi manfaat besar kepada rakyat. Kita tidak rugi berbudi kepada tanah kerana selain membantu menjimatkan perbelanjaan dapur, ia juga berpotensi menjana pendapatan sekiranya diusahakan secara serius dengan ilmu dan bimbingan yang betul.

“Kita mahu bantu wanita mengurus tanaman walaupun dalam kesibukan harian. Kaedah fertigasi sangat sesuai kerana tidak memerlukan masa yang banyak. Inilah sebabnya penting untuk mereka hadir kursus dan bengkel anjuran Jabatan Pertanian bagi memperoleh ilmu dan kemahiran yang tepat,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Lamanita peringkat daerah Kuala Terengganu di Pusat Pertanian Bandar, di sini hari ini.

Menurut beliau, fokus utama program Lamanita ialah menggalakkan aktiviti pertanian di halaman rumah dengan kaedah moden seperti fertigasi yang membolehkan tanaman diurus secara automatik tanpa perlu dipantau setiap masa.

Mengimbas pengalaman beliau sebagai ADUN Wanita sebelum ini, Zuraida berkata, beliau pernah memilih 10 peserta dan memperuntukkan bajet khas untuk membolehkan mereka mengusahakan tanaman fertigasi di halaman rumah masing-masing, dan hasilnya amat memberangsangkan.

Dengan sokongan padu daripada Jabatan Pertanian dan Exco Pertanian, beliau yakin program seperti ini boleh dijadikan program tahunan kerana sambutannya sangat menggalakkan.

“Terengganu adalah bumi yang bertuah. Ramai rakyat kita mempunyai laman rumah yang sesuai untuk bercucuk tanam. Bagi mereka yang tinggal di rumah bertingkat atau flat, kaedah tanaman yang sesuai juga ada disediakan,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa menyokong penuh inisiatif seperti Lamanita dengan menyediakan geran, peralatan, dan yang paling penting, ilmu.

“Saya percaya jika wanita benar-benar mendalami ilmu pertanian, ia bukan sahaja boleh membantu meringankan beban kewangan keluarga, malah berupaya menjana pendapatan tetap serta menyumbang kepada peningkatan ekonomi rakyat dalam sektor pertanian,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap program Lamanita terus diberi sokongan dan akan menjadi salah satu inisiatif utama dalam pembangunan sosioekonomi wanita di negeri Terengganu.