DUNGUN – Lebih 3,000 warga Dungun membanjiri pesisir Pantai Dungun pagi tadi bagi memeriahkan Beach Walk Dungun 2025, program senaman ringan yang memberi peluang kepada masyarakat untuk berjalan kaki sambil menikmati keindahan panorama pantai.
Menariknya, acara ini bukan sahaja menarik penyertaan golongan muda, malah turut disertai warga emas yang hadir dengan penuh semangat dan keceriaan, menjadikan suasana lebih meriah.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, program itu merupakan kesinambungan daripada Fun Run Dungun yang pernah dianjurkan sebelum ini.
“Kali ini, Beach Walk Dungun diadakan bagi memupuk semangat ukhuwah dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat sambil menggalakkan aktiviti riadah ringan.
“Dungun tidak pernah ketinggalan dalam menyediakan fasiliti sukan untuk rakyat. Kita ada Velodrom Dungun, Dewan Majlis Sukan Negara lengkap dengan kemudahan badminton, serta pelbagai prasarana lain. Semua ini demi kesihatan dan kesejahteraan masyarakat Dungun,” ujarnya ketika ditemui di program tersebut.
Beliau turut menyeru agar masyarakat Dungun terus mengamalkan gaya hidup sihat demi kesejahteraan diri, keluarga, dan komuniti setempat.