DUNGUN – Kira-kira 300 sukarelawan daripada pelbagai agensi termasuk kerajaan, swasta dan Badan Bukan kerajaan (NGO) turun padang membersihkan rumah penduduk Kampung Pasir Raja selepas empat hari kampung itu dilanda banjir lumpur.
Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa berkata siri tersebut menyaksikan tidak kurang daripada 10 buah rumah penduduk yang masih ditenggelami lumpur dan dijangkakan dapat dibersihkan sepenuhnya sehingga Jumaat ini.
Katanya, bencana seumpama itu adalah satu ujian buat semua penduduk di kawasan Hulu Dungun pada gelombang banjir kali keempat yang melanda Terengganu baru-baru ini.
“Saya mengharapkan orang ramai yang mempunyai kemampuan kebendaan yang lebih diminta sama-sama membantu penduduk yang terjejas banjir berkenaan bagi meringankan bebanan yang ditanggung mereka,” katanya kepada wartawan UPDI di lokasi salah sebuah rumah yang terkesan banjir lumpur di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau mengharapkan semua penduduk terlibat bersabar menghadapi ujian bencana tersebut dan banyak pihak sedia tampil untuk membantu meringankan beban mereka dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Abd Mutalib Harun, 60, yang merupakan salah seorang penduduk terjejas banjir di kampung berkenaan mengucapkan rasa syukur kerana bantuan yang tidak putus-putus sejak peristiwa itu berlaku.
Dia yang juga seorang pekebun getah dengan rasa gembira bercampur sedih mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua terlibat dengan operasi pasca banjir dan mengharapkan Tuhan membalas jasa baik mereka.
Katanya yang tinggal di situ sejak lahir kebanyakan peralatan rumahnya musnah akibat banjir lumpur yang hampir melumpuhkan kampung mereka.
Tinjauan UPDI mendapati lumpur setebal 0.34 meter memenuhi rumah Abd Mutalib seluas 111.51 meter persegi memerlukan sekurang-kurangnya dua hari untuk dibersihkan sepenuhnya dengan peralatan kebersihan yang cukup termasuk penyembur air, penyodok pasir dan sebagainya.
Didapati sukarelawan kekurangan peralatan bagi membantu membersihkan rumah penduduk di situ.
Banjir melanda rumah penduduk baru-baru ini setinggi kira-kira 3 meter disertai dengan lumpur, merupakan satu tragedi mendukacitakan hampir semua penduduk dengan kehilangan harta benda dan kerosakan rumah masing-masing.
Turut terjejas teruk rumah penduduk di Kampung Syukor dan Jongok Batu.