Oleh ; RR
KUALA TERENGGANU – Sekurang-kurangya 300 anggota jentera PAS Kawasan Setiu akan turun menyertai himpunan ‘Turun Anwar’, membantah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini.
Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Setiu, Ustaz Zul Bhari bin Abdul Rahman berkata, penyertaan besar itu menunjukkan iltizam dan kesatuan ahli PAS dalam menolak kepimpinan yang gagal menangani isu rakyat secara tuntas.
“Sebanyak tujuh buah bas, dua buah van, tiga buah kereta dan 20 buah motosikal akan digunakan untuk membawa peserta.
“Pelepasan dibuat di peringkat DUN masing-masing,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, penyertaan dari PAS Setiu melibatkan semua peringkat sayap parti, termasuk Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulamak, Pemuda dan Ameerah akan bergerak secara tersusun ke lokasi perhimpunan.
“Kami pimpinan PAS mengharapkan agar semua peserta turun dengan satu niat iaitu mengimarahkan perjuangan kerana Allah,” katanya.
Justeru itu, beliau turut menyeru orang ramai agar mematuhi arahan pimpinan, mengikuti peraturan, berdisiplin dan menunjukkan akhlak yang baik.
“Jangan melakukan sesuatu di luar batas undang-undang, sebaliknya bertindak dengan penuh hemah dan hikmah,” ujarnya lagi.