Home Berita PAS Terengganu

30 Sukarelawan Turun Padang Ringankan Beban Mangsa Banjir

4
SHARE

MARANG – Seramai 30 sukarelawan termasuk Ameerah, pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai dan anggota Khidmat Malaysia dari Kemaman berganding bahu dalam Misi Pasca Banjir Negeri Terengganu bagi membantu mangsa banjir di Dun Bukit Payong.

Menurut Ketua Perhubungan Awam Ameerah Terengganu, Asma Wahab, sukarelawan terbabit menumpukan usaha membersihkan 10 buah kawasan yang paling terjejas, termasuk membuang sisa lumpur dan membersihkan perabot serta peralatan rumah.

Katanya, usaha sama antara pelajar dan masyarakat tempatan membuktikan semangat gotong-royong yang tinggi dalam kalangan anak-anak muda .

“Ameerah Terengganu sertai Misi Banjir Khidmat Malaysia Terengganu ke Marang, membawa tenaga, senyuman dan sedikit harapan untuk keluarga yang baru melalui ujian berat.

“Kadang kita rasa bantuan kita biasa-biasa sahaja, tapi bagi mangsa yang penat dan tak tahu nak mula dari mana, kehadiran kita itulah yang jadi kekuatan pertama untuk mereka bangkit semula,” jelasnya Ketika dihubungi, semalam.

Menurut beliau, aktiviti ini menonjolkan peranan penting sukarelawan wanita dalam operasi pasca banjir, menjadi contoh kepada masyarakat untuk terus menghulurkan bantuan dengan ikhlas tanpa mengharapkan pujian.

“Setiap rumah yang dibersihkan, setiap sampah yang diangkat, setiap salam yang dihulur dan semuanya bukan sekadar kerja fizikal. Ia tanda bahawa mereka tidak sendirian.

“Kita bantu setakat mana kita mampu, dan selebihnya biar Allah kira sebagai amal,” jelasnya.

Oleh itu, beliau menyeru seluruh warga Darul Iman turut sama membantu, bukan kerana nama, tetapi kerana jiwa dan rasa kemanusiaan.

Sementara itu, Ketua Ameerah Permaisuri Wan Noor Ainawati Hassan Basari, berkata, walaupun jumlah petugas tidak ramai, semangat yang dibawa cukup besar untuk memberi bantuan segera kepada keluarga yang terjejas.

Menurutnya, kumpulan kecil itu berjaya membersihkan lima buah rumah yang dipenuhi selut dan sisa banjir, selain memberi sokongan moral kepada mangsa yang masih trauma dengan kejadian.

“Walaupun bilangan kami kecil, semangat yang dibawa sangat besar. Kami hadir untuk menyantuni mangsa, membantu membersihkan kediaman dan menyuntik semangat buat mereka yang terkesan.

“Alhamdulillah, sebanyak lima buah rumah telah berjaya dibersihkan oleh kumpulan kami,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, rumah mungkin rosak, harta mungkin hilang, tetapi semangat dan kasih sayang dalam keluarga tetap utuh.

“Semoga usaha kecil ini memberi makna yang besar kepada mereka yang memerlukan dan membantu meringankan sedikit sebanyak beban mangsa-mangsa banjir,” katanya.

Justeru itu, beliau turut mendoakan agar semua mangsa diberi kekuatan menghadapi ujian tersebut dan dikurniakan rezeki yang lebih baik selepas ini.