Oleh : Nur Syarifah Ariffin
27 Mac 2023
TAWAU: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Sabah dengan kerjasama LKK Dewan Muslimat PAS Tawau telah mengedar Bakul Ramadan untuk asnaf sekitar Batu 5 Jalan Apas di sini, Jumaat lepas.
Menurut Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Nor, Ramadan adalah bulan madrasah tarbiah yang bukan sahaja mengajar kita untuk meningkatkan amal ibadah tapi juga untuk mendidik kita saling berkongsi rezeki kepada mereka yang lebih memerlukan.
“Dalam PAS kita diajar bukan hanya mementingkan politik tapi juga amat menitik beratkan kebajikan masyarakat, oleh itu program sebegini diadakan bertujuan untuk terus membantu masyarakat sekaligus menyampai amanah daripada kutipan sumbangan orang ramai,” ujarnya ketika merasmikan majlis.
Seramai 30 orang asnaf telah menerima sumbangan bakul Ramadan dalam majlis tersebut. Turut hadir Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah Norsah Bongsu.