Home Berita PAS Pahang

3 pelajar cemerlang MTIS dapat tajaan umrah percuma

8
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

TEMERLOH, 28 Ogos – Tiga pelajar Maahad Tahfiz Al-Istiqamah (MTIS) diraikan dengan tajaan umrah percuma selepas menunjukkan pencapaian luar biasa dalam bidang akademik dan hafazan al-Quran.

Pelajar yang terpilih ialah Afiq Nasir dan Nurina Farhanah, masing-masing cemerlang dalam kelas syahadah, serta Wafa Al-Hana’ yang dinobatkan sebagai pelajar dengan hafazan terbaik.

Penyampaian tajaan telah disempurnakan oleh Dato’ Abu Hassan, Ustaz Yusof Sulaiman dan Ustaz Hadi bin Baharom selaku wakil kepada para penginfaq yang sentiasa mendukung perjuangan pendidikan tahfiz.

Menurut wakil MTIS, anugerah ini bukan sahaja sebagai penghargaan kepada usaha dan pengorbanan pelajar, malah menjadi motivasi kepada generasi muda lain untuk mencintai al-Quran dan berusaha mencapai kejayaan duniawi dan ukhrawi.

“Alhamdulillah, kami amat bersyukur dengan sokongan para dermawan yang membolehkan anak-anak ini menikmati ganjaran yang begitu istimewa. Semoga umrah mereka diberkati dan menjadi inspirasi buat pelajar lain,” ujar seorang guru pengiring.

Pihak MTIS turut menyeru masyarakat agar bersama-sama melahirkan generasi huffaz rabbani dengan menyalurkan sumbangan ke akaun rasmi Maahad Tahfiz Al-Istiqamah (Maybank: 556057547971).

Maahad Tahfiz Al-Istiqamah terus komited membentuk generasi al-Quran yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.