Home Berita PAS Terengganu

29 November Penentu Maruah, Hak Rakyat Terengganu Yang Dinafi

6
SHARE

KUALA LUMPUR – Tarikh 29 November 2025 bakal menjadi detik penentu maruah dan hak rakyat Terengganu selepas lebih empat dekad tanah milik Kerajaan Negeri diusahakan oleh pihak luar tanpa dokumen hak milik yang sah.

Tanah seluas 14,791 hektar milik Kerajaan Negeri Terengganu telah dibangunkan sebagai ladang sawit oleh Felda sejak tahun 1985 sebelum kemudiannya diserahkan kepada FGV.

Dalam tempoh lebih 40 tahun itu, Felda telah mengusahakan dan menikmati hasil serta keuntungan yang besar daripada tanah tersebut.

Namun, sepanjang tempoh itu, Kerajaan Negeri sebagai tuan tanah tidak menerima hak yang sewajarnya seperti bayaran premium, cukai tanah dan perkongsian keuntungan.

Tanah ini kemudiannya dipajak kepada FGV dan diisytiharkan sebagai aset syarikat itu di Bursa Malaysia, sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana aset milik negeri boleh diisytiharkan sebagai milik entiti lain.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, Kerajaan Negeri pada awalnya telah memilih untuk menggunakan pendekatan diplomasi dan rundingan dengan Felda, khususnya ketika era Perikatan Nasional (PN) sebagai Kerajaan Persekutuan.

Ketika itu, Pengerusi Felda merupakan seorang tokoh dari Besut, yang juga merupakan mantan Menteri Besar Terengganu, atas dasar sama-sama anak negeri, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan lunak melalui perbincangan dan saluran diplomatik untuk menyelesaikan isu tanah berkenaan.

Namun katanya, usaha tersebut tidak membuahkan hasil dan Kerajaan Negeri seolah-olah berada dalam kedudukan mengemis untuk mendapatkan hak atas tanahnya sendiri.

“Selepas itu, jawatan Pengerusi Felda bertukar tangan kepada seorang lagi tokoh dari Terengganu, iaitu mantan Menteri dan mantan Ahli Parlimen Kemaman. Kerajaan Negeri terus membuka ruang perbincangan dengan harapan penyelesaian dapat dicapai secara baik. Namun, hasilnya tetap kosong, dan isu ini terus tergantung tanpa sebarang penyelesaian konkrit.

“Dua anak Terengganu telah menerajui Felda, namun mereka tidak mampu mengembalikan hak negeri sendiri. Maka, kita tidak zalim apabila memberikan tempoh 40 hari kepada Felda sehingga 29 November 2025 untuk menyelesaikan isu ini. Sebenarnya, mereka telah diberi peluang yang sangat luas,” tegasnya.

Dr. Azman.

Beliau turut menjelaskan bahawa timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat mengenai status tanah berkenaan.

“Perlu difahami bahawa isu ini melibatkan tanah milik Kerajaan Negeri seluas lebih 14 ribu hektar yang dijadikan ladang sawit dan diserahkan kepada FGV. Ia bukan Tanah Rancangan Felda yang mempunyai peneroka, sebaliknya tanah ini adalah hak negeri yang diusahakan oleh Felda dan FGV tanpa pemilikan sah,” katanya.

Jelas Dr. Azman, sebelum ini satu pertemuan rasmi telah diadakan di Menara Felda, Kuala Lumpur, dengan delegasi Kerajaan Negeri hadir untuk menyampaikan tuntutan secara langsung kepada pihak Felda.

Katanya, delegasi tersebut diketuai olehnya bersama Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu, Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Dato’ Haji Rosli Latif, pegawai dari Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri serta beberapa pegawai lain.

Felda pula katanya diwakili oleh Setiausaha Bahagian Badan Kawal Selia Felda Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Tarmizi Zakaria dan Timbalan Pengarah Besar Felda, Dato’ Mohd Banuri Aris.

“Dalam pertemuan tersebut, tempoh 40 hari diberikan kepada Felda dan FGV untuk menyelesaikan isu ini secara rundingan. Tarikh akhir penyelesaian ditetapkan pada 29 November 2025, dan sekiranya tiada sebarang penyelesaian dicapai, Kerajaan Negeri akan meneruskan tindakan undang-undang mengikut lunas perundangan sedia ada,” tegasnya.

Dr. Azman menegaskan bahawa delegasi Kerajaan Negeri hadir sebagai tuan tanah yang sah untuk menuntut hak, bukan untuk memohon ehsan daripada Felda.

“Ruang tolak ansur yang dibuka sebelum ini terpaksa digantikan dengan ketegasan. Kami datang sebagai tuan tanah untuk menuntut hak, bukan untuk meminta belas kasihan,” tegas beliau.