KUALA TERENGGANU – Seramai 287 pelajar tingkatan enam dari daerah Kemaman dan Dungun menerima bantuan pendidikan sebanyak RM500 setiap orang daripada Yayasan Terengganu dalam sebuah majlis yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun.
Seramai 189 pelajar dari lima buah sekolah menengah di daerah Kemaman serta 98 pelajar dari lima buah sekolah menengah di daerah Dungun telah menerima bantuan tersebut, semalam.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada peruntukan RM688,000 yang disediakan oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu bagi membantu seramai 1,376 pelajar STPM di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata kerajaan negeri akan terus komited dalam menyediakan insentif pendidikan kepada pelajar cemerlang.
“Selain bantuan pendidikan, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM5 juta setahun sejak tahun 2018 bagi menyediakan biasiswa kepada pelajar yang layak.
“Peruntukan ini telah meningkat setiap tahun, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM20 juta sehingga kini.
“Kita juga memberi keutamaan bukan sahaja kepada kecemerlangan akademik tetapi juga kepada latar belakang pelajar. Pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, terutamanya dalam kategori B40, akan diberikan perhatian khas dalam pemilihan penerima bantuan ini,” ujar beliau.
Beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah meningkatkan peruntukan biasiswa daripada RM500,000 kepada RM1 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM6 juta setahun.
“Kerajaan negeri turut menyediakan RM10 juta untuk pinjaman pendidikan tanpa faedah bagi membantu pelajar yang tidak mendapat pinjaman daripada sumber lain.
“Ini kerana, kadang-kadang jika tidak lulus permohonan PTPTN, maka pelajar boleh membuat permohonan pinjaman dengan kerajaan negeri.
“Jadi kita berharap pelajar-pelajar kita akan terus berusaha untuk ke peringkat pengajian yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, pelajar yang telah menerima bantuan ini turut berkongsi rasa syukur dan kegembiraan mereka. Nur Alia Syuhadah Ghazali, 18, dari Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah berkata dia sangat bersyukur kerana wang ini dapat digunakan untuk menyimpan bagi kegunaan ketika memasuki universiti nanti.
Menurut Syuhadah, bantuan ini amat membantunya kerana banyak wang telah digunakan untuk persiapan SPM sebelum ini.
Leong Weng Hei, 181, dari Sekolah Menengah Sultan Ismail turut menyatakan kegembiraannya menerima bantuan ini.
“Bantuan ini sangat membantu saya untuk membeli keperluan ketika melanjutkan pelajaran ke universiti. Saya bercita-cita untuk menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM),” ucapnya.
Sementara itu, Nur Maisarah Amran dari SMK Sultan Omar berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang TESL di Universiti Sains Malaysia (USM).
“Saya sangat bersyukur atas bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri. Ia dapat membantu saya menampung kos pengajian kelak,” katanya.
Bantuan ini jelas mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pelajar di Terengganu sentiasa mendapat sokongan kewangan yang mencukupi untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.