Home Berita PAS Sabah

PERANG IRAN – ISRAEL: DI MANA KEDUDUKAN UMAT ISLAM?

8
SHARE

 

Konflik yang tercetus antara Iran dan Israel bukan sekadar pertelingkahan dua kuasa serantau, tetapi ia menggambarkan pertarungan ideologi, kezaliman, dan isu penjajahan terhadap tanah suci umat Islam — Palestin. Dikala bumi Gaza dibedil dan darah para syuhada terus mengalir, umat Islam di seluruh dunia mula bertanya: Di manakah kedudukan kita dalam konflik ini?

Iran dan Israel: Siapa di Pihak Kebenaran?

Iran, meskipun berbeza mazhab, secara terbuka menyokong perjuangan rakyat Palestin dan memberikan bantuan ketenteraan serta moral kepada kumpulan pejuang seperti Hamas dan Jihad Islami. Israel pula terus mengganas, merampas tanah Palestin, membunuh ribuan wanita dan kanak-kanak, serta mencabar maruah umat Islam dengan menceroboh Masjid al-Aqsa — kiblat pertama umat Islam.

Perang terbuka yang kini tercetus antara dua pihak ini menuntut penilaian semula terhadap pendirian dan kesedaran umat Islam. Apakah kita hanya menjadi penonton, atau sudah tiba masanya kita sedar bahawa isu ini adalah urusan agama, bukan sekadar politik?

Tanggungjawab Umat Islam

1. Kewajipan Membantu Saudara Seagama

Allah SWT berfirman:

وَإِنِ ٱسْتَنصَرُوكُمْ فِى ٱلدِّينِ فَعَلَيْكُمُ ٱلنَّصْرُ

“Dan jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam urusan agama, maka wajib atas kamu memberi pertolongan.”

(Surah al-Anfal: 72)

Imam Ibn Kathir menjelaskan:

“أي إن طلبوا منكم النصرة لأجل كونهم على دينكم، فعليكم أن تنصروهم”

“Yakni jika mereka minta pertolongan kerana mereka seagama dengan kamu, maka wajib kamu membantu mereka.”

(Tafsir Ibn Kathir)

2. Kesatuan Umat Islam Adalah Tuntutan Agama

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara.”

(Surah al-Ḥujurat: 10)

Imam al-Qurṭubi menyebut:

“هذا عقد عقده الله بين المؤمنين بأنهم إخوة في الدين”

“Ini adalah ikatan yang Allah ikatkan antara orang-orang beriman sebagai saudara dalam agama.”

Imam al-Ghazali رحمه الله berkata :

“إذا استولى أهل الكفر على بلد، ولم يكن للمسلمين منعة، كان على المسلمين المجاورين لهم أن يهبّوا للجهاد

“Jika orang kafir menguasai sebuah negeri dan tiada kekuatan di kalangan umat Islam, maka menjadi kewajipan ke atas jiran-jiran Muslim untuk bangkit berjihad.”

(Iḥya Ulumuddin)

Imam Ibn Taymiyyah رحمه الله:

“ومن لم ينصر المسلمين وكان قادراً على ذلك فهو آثم”

“Sesiapa yang tidak membantu kaum Muslimin sedangkan dia mampu, maka dia berdosa.”

Syaikh Yusuf al-Qaradawi رحمه الله:

“قضية فلسطين ليست قضية وطنية ولا قومية، بل هي قضية إسلامية دينية”

“Isu Palestin bukan isu nasional atau bangsa, tetapi ia adalah isu agama dan Islam.”

Sikap Negara-Negara Islam: Di Mana Maruah?

Amat mendukacitakan apabila banyak negara Islam, khususnya di rantau Arab yang hampir semua berfahaman Sunni memilih untuk berdiam diri — atau lebih parah, menjalin hubungan normalisasi dengan Israel. Adakah keuntungan ekonomi dan kestabilan politik lebih utama daripada darah dan maruah umat?

Sepatutnya para pemimpin Muslim mencontohi para Khulafa ’ Rasyidin yang meletakkan aqidah dan umat di atas kepentingan peribadi dan duniawi. Namun yang mereka utamakan hanyalah kedudukan dan ‘keamanan’ masing-masing.

Tanggungjawab Sebagai Umat Islam

Walau kita tidak memegang senjata, kita tetap memikul amanah sebagai sebahagian daripada umat yang satu, tanah Palestin yang satu :

1. Doa, Senjata mukmin yang tidak boleh diremehkan.

“الدعاء سلاح المؤمن”

“Doa adalah senjata orang beriman.” (Riwayat al-Hakim)

2. Kesedaran dan penyebaran maklumat, Gunakan media sosial dan majlis ilmu untuk menerangkan isu ini kepada masyarakat.

3. Sumbangan, hulurkan bantuan kepada badan-badan yang jujur dan amanah dalam menyokong Palestin.

4. Tekanan politik, gunakan hak sebagai warganegara untuk mendesak pemerintah agar menyokong perjuangan Palestin.

5. Didikan generasi tanamkan semangat jihad, cintakan al-Aqsa, dan kesatuan ummah dalam jiwa anak-anak.

Perang Iran-Israel mungkin menjadi detik penting yang membuka mata umat. Kita tidak boleh terus lena. Palestin adalah amanah, dan al-Quds adalah maruah kita bersama. Jika kita tidak mampu mengangkat senjata, janganlah pula kita menjadi umat yang bisu terhadap kezaliman.

Sebagaimana kata Imam al-Shafie :

“إذا لم تكنْ نَفسُكَ لَكَ مشغولةً بالحقِّ، شَغَلَتْكَ بالباطلِ”

“Jika dirimu tidak disibukkan dengan kebenaran, ia akan disibukkan dengan kebatilan.”

Maka sibukkan diri kita dengan kebenaran, dan jadilah bahagian dari umat yang hidup — bukan sekadar menghuni dunia ini tanpa arah dan tujuan bagai mayat hidup tanpa roh yang bermanfaat untuk agama.

اللهم انصر إخواننا في فلسطين، وارفع عنهم الظلم، وأعد إلينا المسجد الأقصى آمناً مطمئناً في أيدي الموحدين. آمين

Abu Maryam Safiyah
17 Jun 2025
Kunak, Sabah