Home Kenyataaan Media PAS Perak

Pelantikan pegawai khas MB: Isu ketelusan dan keadilan untuk rakyat Perak

140
SHARE
𝐊𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐃𝐈𝐀 𝐏𝐀𝐒 𝐏𝐄𝐑𝐀𝐊
𝐏𝐄𝐋𝐀𝐍𝐓𝐈𝐊𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐆𝐀𝐖𝐀𝐈 𝐊𝐇𝐀𝐒 𝐌𝐁: 𝐈𝐒𝐔 𝐊𝐄𝐓𝐄𝐋𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐀𝐃𝐈𝐋𝐀𝐍 𝐔𝐍𝐓𝐔𝐊 𝐑𝐀𝐊𝐘𝐀𝐓 𝐏𝐄𝐑𝐀𝐊
Memetik sumber Malaysia Gazette Perak bertarikh 22 Februari 2025, kenyataan terbaru Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah menimbulkan persoalan besar mengenai ketelusan dan keadilan dalam pentadbiran kerajaan negeri. Isu pelantikan Pegawai Khas MB bukan sekadar isu politik, tetapi melibatkan hak rakyat Perak untuk mendapatkan perkhidmatan yang adil dan saksama daripada wakil rakyat yang dipilih secara demokratik.
Pelantikan Pegawai Khas Menteri Besar di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili oleh Perikatan Nasional (PN) oleh Datuk Seri Saarani Mohamad semakin jelas dilihat sebagai agenda politik terselindung yang meminggirkan peranan wakil rakyat sah yang dipilih secara demokratik. Jika benar pelantikan ini bertujuan untuk melancarkan pentadbiran kerajaan negeri, kenapa hanya di kawasan pembangkang? Mengapa tidak di semua kawasan DUN? Tidakkah ini menunjukkan niat politik yang jelas untuk menekan suara pembangkang?
Walaupun Menteri Besar Perak cuba menampilkan imej prihatin dengan menambah peruntukan kepada Pusat Khidmat DUN dan memberikan bonus kononnya untuk memperkukuhkan khidmat kepada rakyat, hakikatnya langkah ini tidak lebih daripada gula-gula politik untuk menutup ketidakadilan dalam agihan peruntukan. Tindakan ini jelas menunjukkan sikap pilih kasih dan politik dendam yang menyisihkan kawasan pembangkang, seolah-olah rakyat di kawasan tersebut tidak layak mendapat perkhidmatan yang sama. Rakyat semakin bijak menilai antara keikhlasan dalam berkhidmat dan permainan politik murahan yang hanya mementingkan kuasa semata-mata.
Lebih memusykilkan, pelantikan Pegawai Khas ini meningkatkan birokrasi yang menyukarkan ADUN yang dipilih secara sah untuk melaksanakan tugas mereka dengan berkesan. Setiap peruntukan projek perlu melalui Pegawai Khas MB yang dilantik, menambah lapisan birokrasi yang tidak perlu. Ini bukan sahaja melambatkan proses pentadbiran, malah menghalang wakil rakyat sah daripada memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi mereka.
Lebih menyedihkan, pelantikan Pegawai Khas ini juga dilihat sebagai platform politik tersembunyi untuk meraih pengaruh politik. Tidak dapat dinafikan bahawa kredit politik turut diperoleh oleh Pegawai Khas MB ini, lebih-lebih lagi apabila mereka terdiri daripada tokoh-tokoh parti politik. Buktinya jelas apabila beberapa Pegawai Khas ini berucap dalam majlis-majlis rasmi, menggunakan platform kerajaan untuk memperkukuhkan kedudukan mereka sebagai Ketua Umno Bahagian dan lain-lain perjawatan utama parti.
Tidakkah ini menunjukkan politik tidak sihat yang menggunakan kuasa kerajaan untuk meraih sokongan politik secara tidak langsung?
Inilah yang dikatakan “serampang dua mata” di satu sisi, mereka dilihat sebagai wakil kerajaan, tetapi di sisi lain, mereka menggunakan platform ini untuk agenda politik peribadi. Penggunaan platform rasmi kerajaan untuk memperkukuh pengaruh politik secara terang-terangan ini memudaratkan integriti politik di Negeri Perak. Pejabat-pejabat awam semakin muak dengan permainan politik yang tidak bermaruah ini.
Lebih parah, telah wujud rungutan daripada penjawat awam mengenai kehadiran Pegawai Khas MB yang mengisytiharkan diri mereka sebagai Ketua Umno Bahagian sambil memperkenalkan diri sebagai individu berautoriti dalam majlis-majlis rasmi. Ini menimbulkan kekeliruan di kalangan penjawat awam dan masyarakat setempat. Siapa yang sebenarnya mewakili kerajaan? Siapa yang benar-benar bekerja untuk rakyat? Tidakkah ini meningkatkan politik perpecahan dan mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri?
Rakyat Perak berhak untuk tahu — adakah ini cara kerajaan negeri mentadbir dengan adil dan telus? Adakah ini cara demokrasi ditegakkan atau sekadar memanipulasi kuasa untuk kepentingan politik peribadi?
Isu ini bukan sekadar isu politik, tetapi isu keadilan kepada rakyat Perak. Rakyat Perak tidak mahu birokrasi yang menyusahkan mereka. Rakyat Perak mahukan keadilan dan perkhidmatan yang saksama untuk semua kawasan.
PAS Negeri Perak berdiri bersama rakyat dalam memperjuangkan keadilan dan ketelusan. Kami tidak mahu isu ini menjadi permainan politik yang tidak bermaruah,
sebaliknya kami mahu keadilan untuk semua rakyat Perak, tidak kira di kawasan kerajaan mahupun pembangkang.
PAS Negeri Perak akan terus memperjuangkan hak rakyat untuk mendapat perkhidmatan yang adil dan saksama. Kami mahu pentadbiran yang telus dan bersih daripada agenda politik sempit. Kami berdiri bersama rakyat untuk keadilan, ketelusan, dan pentadbiran yang saksama untuk semua.
Inilah politik matang dan sejahtera yang kami perjuangkan.
Inilah keadilan yang rakyat Perak mahukan.
Inilah masa depan yang lebih baik untuk Negeri Perak.
Fikirkanlah dengan matang.
Pilihlah keadilan dan ketelusan.
Pilihlah politik matang dan sejahtera.
“ 𝐈𝐒𝐋𝐀𝐌 𝐀𝐃𝐀𝐋𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐄𝐋𝐄𝐒𝐀𝐈𝐀𝐍 ”
𝐘𝐁 𝐊𝐇𝐀𝐋𝐈𝐋 𝐘𝐀𝐇𝐀𝐘𝐀
𝐊𝐄𝐓𝐔𝐀 𝐏𝐄𝐍𝐄𝐑𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍
𝐁𝐀𝐃𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐇𝐔𝐁𝐔𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐏𝐀𝐒 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐑𝐀𝐊
𝟐𝟒 𝐅𝐄𝐁𝐑𝐔𝐀𝐑𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟓